fbpx
Sabrina akan rasa puas apabila dapat menghiburkan orang ramai melalui hasil karya kreatifnya di laman sosial.

Sabrina pernah digelar badut kelas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Siapa sangka gadis Pesona Ahad minggu ini, Nur Sabrina Ridzal yang berwajah jelita sebenarnya memiliki persona­liti lucu dan kelakar sehingga digelar badut sejak zaman persekolahan hingga ke universiti.

Personaliti itu membuatkan gadis berusia 25 tahun itu berjaya meraih 38,000 pengikut di TikTok kerana konten video lucu yang dihasilkan telah mencuit hati banyak pengikutnya sehingga ‘digilai’ ramai.

Walaupun memiliki latar belakang teguh dalam bidang perniagaan dan perbankan, gadis yang mesra digelar Sabrina tidak gentar menceburi bidang pencipta kandungan di laman media sosial peribadi serta Shopee.

Bersama Kosmo! Ahad, gadis berperwatakan mesra itu berkongsi me­ngenai kerjaya­nya dan kisah hidup yang sentiasa berfikiran positif.

KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan me­ngenai latar belakang anda?
SABRINA: Saya adalah graduan perniagaan antarabangsa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam. Anak sulung daripada tiga beradik dan membesar di Su­bang Jaya, Selangor. Saya dikenali dengan personaliti lucu dan berfikiran positif kerana saya sentiasa dikelilingi dengan individu yang bersifat sedemikian.

Apakah pekerjaan Sabrina?
Saya bekerja sebagai pencipta kandungan di TikTok rasmi Shopee. Saya mula aktif di TikTok apabila mencipta video kelakar kerana bosan ketika melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun. Tidak sangka hobi itu meraih banyak tontonan sehingga menjadi batu loncatan dalam karier di Shopee.

Bagaimana anda boleh menceburi bidang pembikinan kan­dungan media sosial?
Saya gemar membuat orang sekeliling tertawa, saya gembira apabila melakukan perkara yang lucu. Oleh itu, saya mula aktif di TikTok dan itu yang menjadi batu loncatan dalam karier saya sekarang sebagai media sosial asso­siate di Shopee.

Kenapa pilih bidang ini sebagai pekerjaan?
Saya seronok kerana tidak sedikit pun rasa terbeban mencipta video lucu. Selain itu, ia boleh menjadi sumber rezeki. Saya suka buat orang sekeliling tertawa, saya percaya perkara itu dapat memberi impak positif kepada diri selain memberi ke­puasan.

Sabrina mengaku dia adalah peminat tegar Remy Ishak.

Momen yang tidak boleh dilupakan?
Saya peminat tegar Remy Ishak, apabila beliau berkahwin tahun lalu, saya telah membuat video lucu dengan bergurau saya sangat sedih kerana Remy telah berpunya. Tak sangka video itu viral sehingga Remy juga memuat naik video tersebut di akaun Instagram miliknya.

Destinasi pilihan untuk bercuti?
Saya sangat menggemari London dan negara itu sentiasa menjadi pilihan saya dan keluarga untuk bercuti. Selain itu, saya pernah berkunjung ke Perancis, Sepanyol, Indonesia dan Taiwan.

Ciri-ciri lelaki idaman?
Saya suka lelaki kelakar, yang boleh menjadi cerminan diri saya sendiri. Saya juga suka lelaki yang penyabar, rupa paras yang tampan hanya sekadar bonus.

Apakah ketakutan terbesar Sabrina dalam hidup?
Ketakutan terbesar saya adalah kehilangan ahli keluarga dan mereka yang rapat dengan saya. Sehingga kini, saya masih sedih apabila datuk meninggal dunia ketika saya berusia 12 tahun.

Apakah nasihat bagi mereka yang baru memasuki alam pekerjaan?
Tidak kira apa pun pekerjaan, selalu utamakan kesihatan mental, tidak berbaloi untuk mengorbankan diri bagi syarikat yang tidak akan melakukan perkara yang sama untuk kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN