fbpx
Keadaan motosikal Yamaha MT-09 yang rosak teruk selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur tahun lalu.

Nyaris maut kerana langgar lubang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang perun­ding pelancongan hampir hilang nyawa apabila motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha MT-09 terjunam ke dalam lubang di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Muhammad Firdaus Mukhtar, 30, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Hulu Selangor dari Seri Kembangan.

Katanya, semasa kejadian hujan lebat dan tiada sebarang kon atau tanda amaran diletakkan pada lubang sedalam paras betis yang terbentuk akibat kerja-kerja kontraktor jalan raya.

“Motosikal memang total loss, namun saya bersyukur hanya mengalami luka ringan ekoran pada hari kejadian memakai sut penuh untuk bermotosikal.

“Tambahan pula, sebuah kereta dari arah belakang sempat brek kenderaannya. Jika tidak, mungkin perkara lebih buruk akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Jelas beliau, susulan kejadian berkenaan dia mengalami kerugian sebanyak RM42,000 akibat kerosakan motosikalnya itu.

Tambah Muhammad Firdaus, dia kecewa dengan sikap pihak kontraktor yang bersikap acuh dalam aspek keselamatan ketika menjalankan kerja sehingga membahayakan keselamatan pengguna lain.

“Benda ini (jalan berlubang) sangat serius dan kalau tidak dibendung boleh mengancam nyawa.

“Nasib nyawa saya masih panjang, kalau tidak mati digilis. Kita harap pihak berwajib memandang serius mengenai jalan berlubang ini,” ujarnya.

Muhammad Firdaus turut berharap, pihak kontraktor menerapkan sikap integriti dalam memastikan penggunaan tar yang berkualiti bagi kerja-kerja pembaikan.

“Mungkin ada kontraktor mengurangkan sukatan, namun saya sangat berharap mereka tidak buat kerja cincai,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN