fbpx
Jalan berlubang akan membuatkan pemandu gagal mengawal kenderaan dan mengundang lebih banyak kemalangan. – gambar hiasan

285 kematian akibat jalan berlubang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kes kemalangan jalan raya di negara ini bukanlah satu isu baharu, malah menjadi antara antara punca kepada kehilangan banyak nyawa rakyat yang tidak berdosa hampir setiap hari.

Setakat bulan Januari hingga September tahun lalu, sebanyak 3,302 kes kematian direkodkan di seluruh negara daripada sejumlah 255,532 kemalangan yang dilaporkan.

Statistik itu memberi gambaran mengenai risiko besar yang dihadapi oleh pengguna jalan raya, sehingga meletakkan Malaysia pada kedudukan kelapan di dunia sebagai negara paling berbahaya untuk memandu.

Antara faktor yang dikenal pasti sebagai penyebab berlakunya kemalangan adalah keadaan jalan yang berlubang, penunggang motosikal yang terlalu ramai selain situasi kesesakan jalan raya yang agak lama.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Ke­selamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Law Teik Hua berkata, berdasarkan statistik pada tahun 2014 hingga 2018, kemalangan maut yang melibatkan jalan berlubang adalah sebanyak 285 kes.

Malah katanya, statistik kecederaan yang dilaporkan pula adalah 106 kes, manakala 277 kes dikategorikan sebagai kecede­raan ringan.

“Jika kita amati statistik ini, ia menunjukkan betapa seriusnya kemalangan melibatkan jalan berlubang. Kebiasaannya kemala­ngan berlaku ketika pemandu atau penunggang terpaksa mengelak lubang di atas jalan raya sehingga mereka memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, berlaku pertembungan kereta tersebut dengan pemandu lain. Keadaan jalan raya yang berlubang ini juga bukan isu baharu, namun sehingga kini perkara tersebut tiada penyelesaian,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Teik Hua berkata, faktor kedua pula adalah peningkatan jumlah penunggang motosikal di jalan raya yang turut menjadi punca kepada berlakunya kemalangan.

Katanya, kebanyakan kemalangan melibatkan penunggang ini berpunca daripada sikap individu yang tidak menggunakan laluan khas bagi kenderaan motosikal terutama ketika berada di lebuh raya.

“Kehadiran penunggang motosikal di jalan raya sukar dikesan oleh pemandu terutamanya penunggang kenderaan berat akibat ‘blind spot’.

“Pada masa sama, mereka ini juga suka melanggar peraturan jalan raya. Sebagai contoh adalah melanggar lampu isyarat merah,” jelasnya.

Untuk faktor terakhir pula, beliau mendedahkan kadar kesesakan yang tinggi ter­utamanya pada waktu puncak seperti musim perayaan dan cuti sekolah turut dikenali pasti sebagai penyumbang kepada kejadian kemalangan.

“Apabila berlaku kesesakan, pemandu akan berada lama di dalam kereta dan ini menyebabkan mereka keletihan dan hilang tenaga dengan cepat.

“Jika berada di situasi ini, mereka mudah terlelap semasa memandu atau microsleep kerana tidak cukup rehat, sekali gus boleh mengakibatkan kemalangan,” ujarnya.

Terdahulu, berdasarkan data dikeluarkan firma pendidikan pemanduan antarabangsa, Zutobi baru-baru ini, Malaysia dise­naraikan di kedudukan kelapan sebagai negara paling tidak selamat memandu dengan skor ke­selamatan direkodkan adalah 5.63 daripada 10.

Menurut data itu lagi, Malaysia turut merekodkan skor 22.5 kematian lalu lintas bagi setiap 100,000 penduduknya, kedua tertinggi selepas Thailand yang merekodkan skor 32.3.

Sementara itu, Zutobi memaklumkan, tiga negara paling berbahaya bagi pemanduan sejak tahun lepas tidak menampakkan sebarang perubahan.

“Negara tersebut ialah Afrika Selatan yang setakat ini mempunyai skor terendah iaitu 3.41 daripada 10.

“Kedudukan kedua negara paling bahaya memandu adalah Thailand dengan skor 4.35 daripada 10, sementara Amerika Syarikat pula di tangga ketiga, dengan skor keselamatan 5.03 daripada 10,” ujarnya.

Jelas data itu lagi, kadar kematian di India meningkat lebih 50 peratus berbanding tahun lalu, daripada 15.6 kepada 22.6 bagi setiap 100,000 orang.

India berada di kedudukan kelima selepas merekodkan skor 5.48 dan Argentina keempat, sementara Bosnia dan Herzegovina serta Croatia masing-masing berada di kedudukan keenam dan ketujuh.

Sementara Peru dan Bolivia pula berada di kedudukan ke sembilan dan 10, selepas masing-masing merekodkan kadar skor yang sama, 5.74.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN