SAMA ada kita akui atau tidak, sejak jaringan internet menjadi sumber utama rujukan dunia dengan cukup mudah serta terlalu pantas, rujukan mengenai fesyen juga semakin menjadi meragukan.
Sumber yang diedarkan secara berleluasa dengan informasi yang kabur, konteks yang bercelaru, akhirnya memberi pemahaman yang kurang tepat kepada pembaca.
Pelajar terutamanya, dibimbangi semakin melupakan evolusi sejarah fesyen yang sebenarnya berlaku.
Kini, kebanyakan mereka hanya melihat serta menilai peristiwa penting dalam sejarah fesyen, hanya melalui satu-satu foto yang diunggah (upload) dalam Instagram, Facebook, Pinterest dan sebagainya, selalunya tiada penerangan langsung atau sekadar dengan info yang cukup ringkas, tidak terperinci dan tiada jaminan kesahihan maklumat.
Kita perlu sedari bahawa pengetahuan yang mendalam tentang industri fesyen dari dahulu hingga sekarang adalah teramat penting untuk bertahan dalam landskap industri fesyen yang sentiasa berubah-ubah.
Hari ini, pereka perlu menghadapi pengguna atau pembeli yang lebih berpengetahuan tentang fesyen berbanding sebelumnya.
Oleh itu, untuk mencipta atau menghasilkan sesuatu rekaan yang benar-benar segar dan baharu adalah cukup rumit.
1. Akses mudah
Dengan pilihan yang cukup pelbagai serta akses mudah dan segera untuk fesyen, pengguna kini sudah bijak untuk menjadi kritikal terhadap fesyen dengan menolak rekaan yang cetek (superficial) serta kurang nilai estetik dan komersial.
Sebagai seorang pereka yang mahu berkreativiti, kita semestinya perlu tahu apa peristiwa yang berlaku dalam sejarah untuk menghasilkan pembaharuan dalam rekaan atau karya.
Sememangnya kita perlu sedar tentang apa yang telah dan sedang berlaku dalam fesyen untuk menjadi benar-benar inovatif selain sebagai pencetus trend akan datang.
2. Cari pereka berbakat
Disebabkan sumber informasi dalam talian (online) sudah cukup tersedia untuk digunakan, bakal-bakal majikan atau pelabur kini lebih berhati-hati dalam mencari pereka yang benar-benar berbakat besar.
Mereka berkehendakkan pereka dengan kemahiran membuat penyelidikan yang mantap dan canggih serta berkebolehan mengupas keunikan, kekayaan budaya dan sejarah dengan suntikan interprestasi kontemporari yang lebih segar.
Kefahaman tentang perubahan dalam pakaian dan siluet dalam abad yang berbeza serta konteks identiti masyarakat adalah sangat kritikal dan penting. Dengan kesedaran itu, pereka mampu serta berkebolehan untuk meramal kitaran fesyen tempatan dan antarabangsa serta menilai jurang pasaran yang pelbagai.
3. Sejarah fesyen
Kefahaman pengetahuan yang ekstensif terhadap sejarah fesyen amat kritikal untuk menempa kejayaan masa hadapan dalam industri fesyen.
Segalanya adalah tentang interpretasi penyelidikan yang tersendiri, sama ada penyelidikan dalam sejarah fesyen global, politik, ekonomi, muzik, seni bina, tekstil dan pelbagai lagi.
Majikan atau pelabur mahukan graduan yang berpengetahuan tinggi. Contohnya, jika anda mahu bekerja dengan sesuatu jenama berprestij, anda perlu tahu siapa pereka atau pengarah kreatif jenama tersebut dari dahulu hingga sekarang, juga sejarah jenama tersebut. Ini adalah sebahagian daripada pemahaman tentang peta budaya industri fesyen.

PEREKA berbakat besar dengan pelbagai pengetahuan menjadi dambaan majikan pada masa ini.
4. Pameran seni
Penyelidikan sangat penting jika kita mahu menjadi pakar dalam sesuatu bidang.
Penyelidikan utama adalah amat berharga dan ia adalah eksklusif pada penyelidik.
Disiplinkan diri dalam membuat kajian di perpustakaan atau jika mampu belilah bahan-bahan bacaan berkaitan, keluar dan temu bual dengan masyarakat serta pakar.
Kayakan minda dengan menikmati pameran seni, program bual bicara kerana amat penting untuk kita mewah dengan ilmu pengetahuan budaya warisan dan kontemporari. Semua elemen ini menyumbang kepada penghasilan karya atau rekaan yang hebat serta bersifat sejagat.
5. Keperluan industri
Untuk mengetahui tentang keperluan masa depan industri, kita juga terlebih dahulu perlu tahu dan faham sebanyak mungkin segala pencapaian, isu-isu utama, kemajuan, tindakan yang telah diambil serta perkara yang telah berlaku.
Ini memberi kesan kritikal atas perubahan falsafah dan konteks sejarah industri fesyen itu sendiri.
Semua pereka perlu faham tentang apa itu DNA ataupun identiti sesuatu jenama.
Contohnya, jika anda berpeluang menghadiri temu duga dengan jenama berprestij dunia, anda seharusnya tidak terhad untuk memahami tentang beberapa kempen koleksi terbaharu atau visi pengarah kreatif yang terkini.
6. Pengasas jenama
Selain itu, anda juga perlu tahu tentang siapakah pengasas jenama tersebut dan bagaimana mereka merangka, mencorak konsep jenama pada tahun atau dekad sebelumnya.
Apa yang telah berlaku dahulu adalah cerminan apa yang kita lihat hari ini.
Apa yang dimahukan oleh syarikat atau jenama besar antarabangsa seperti J.W.Anderson, Tom Ford atau Dior (sekadar menyebut beberapa nama) adalah graduan yang mempunyai ciri-ciri bakat luar biasa yang tentunya unik dan hebat dalam penyelidikan serta tidak pernah dilihat sebelumnya.
Mereka tidak mahu melihat interpretasi inspirasi yang telah dibuat berjuta kali oleh semua pereka.
Graduan ataupun pereka yang kurang memahami sejarah dan sentiasa mendapatkan inspirasi rekaan melalui penyelidikan yang longgar, selalunya akan menghasilkan koleksi rekaan yang membosankan serta tidak membawa apapun perubahan dalam arus industri.















