PARIT BUNTAR – Lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan ibunya dikatakan pernah mengerat kucing yang masuk ke rumah menggunakan pisau selain berperwatakan bengis dan tidak pernah senyum kepada sesiapa.
Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, kejadian itu berlaku tiga tahun lalu hingga membuatkannya takut dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Katanya, dia juga tidak pernah melihat suspek tersenyum sejak berjiran 13 tahun lalu.
“Suspek hanya mengutip barangan lusuh dan dikumpulkan di sekeliling rumah yang didiami bersama ibunya.
“Oleh kerana itu rumahnya, kadang kala berbau busuk dan sampai ke dalam rumah kami apabila ditiup angin,” katanya ketika ditemui di Lorong Bendahara Taman Kerian di sini semalam.
Menurut jiran tersebut, mangsa merupakan seorang yang baik serta ramah selain sering menyanyi dan memasang muzik dengan kuat hingga boleh didengar sampai ke rumahnya.
Bagaimanapun, tambahnya, nyanyian mangsa sudah tidak didengari sejak seminggu lalu.
Berita berkaitan: Potong 15 badan ibu tidak puas hati bahagi harta
Berita berkaitan: Suspek ada rekod sakit mental
“Mangsa ada tiga cahaya mata dan anak perempuannya akan menghubunginya setiap hari walaupun tinggal di tempat lain selepas berkahwin.

“Dia akan datang setiap Sabtu untuk bawa mangsa bersiar-siar,” katanya.
Ujar jiran tersebut, dia hanya tahu mengenai kejadian itu selepas melihat kehadiran polis ke rumah mangsa.
“Sebaik mengetahui mangsa telah dibunuh dan dikerat, saya terus teringat kejadian lelaki itu mengerat kucing yang masuk ke rumahnya tiga tahun lalu,” katanya.
Tinjauan mendapati rumah itu telah dipasang pita keselamatan dan dipenuhi dengan barangan lusuh.















