KEMAMAN – Ketika persatuan-persatuan bas sekolah di negeri lain bercadang untuk menaikkan kadar sewa baharu dalam masa terdekat, lain pula tindakan yang dilakukan oleh Persatuan Pemandu, Pengusaha Bas dan Van Sekolah Kemaman.
Pengerusinya, Kamariah Abdullah berkata, pihaknya setakat ini masih mempertimbangkan untuk mengekalkan tambang van dan sekolah pada harga asal sekurang-kurangnya sehingga tahun hadapan.
Katanya, meskipun terbeban dengan kenaikan kos penyelenggaraan dan alat ganti kenderaan yang meningkat lebih 50 peratus, pihaknya membuat keputusan tersebut demi menjaga hubungan mereka dengan ibu bapa.
“Memang sekarang ini berlaku kenaikan kos untuk membawa pelajar, namun kami tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana kami juga tidak mahu membebankan ibu bapa.
“Kami akan berbincang dengan ibu bapa mengenai hal ini dan mungkin awal tahun hadapan iaitu pada Januari 2023, kami akan menetapkan kadar tambang baharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kamariah yang berpengalaman lebih 30 tahun memandu van dan bas sekolah berkata, kenaikan tambang pengangkutan itu juga akan bergantung kepada keadaan kenderaan yang digunakan.
Beliau berkata, sekiranya van dan bas sekolah milik 32 ahli tidak mempunyai penyaman udara dan tidak selesa, persatuan mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pengusaha tersebut menaikkan tambang.
“Kadar tambang terkini yang dikenakan untuk setiap pelajar bagi jarak lebih 10 kilometer adalah RM140 sebulan untuk perjalanan pergi dan balik sebanyak empat kali sehari.
“Kalau kita naikkan harga tambang pun, mungkin hanya RM10 sebulan, namun rundingan dengan ibu bapa akan dilakukan,” katanya.















