fbpx
RAMAI ulama berpendapat, mereka yang solat tanpa wuduk atau tayamum atas sebab tertentu seperti cedera tidak perlu qada. – gambar hiasan

Solat tanpa wuduk akibat cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Apakah yang patut dilakukan oleh seseorang dalam keadaan tidak dapat berwuduk dan bertayamum disebabkan kecederaan. Bagaimana status solatnya jika dia bersolat semasa keadaan tersebut?

Jawapan:
Para ulama berbincang tentang mereka yang tidak boleh berwuduk dan bertayamum disebabkan kea­daan tertentu seperti ketiadaan air dan debu, terkena penyakit tertentu yang menghalang penggunaan air dan debu atau halangan tertentu melibatkan penggunaan dua bahan tersebut.

Bab ini disebut Faqid al-Tahurain atau ‘Adim al-Tahurain iaitu orang yang tidak mampu untuk melakukan kedua-dua cara bersuci.

Dalam Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) menghitung sehingga lima pendapat dalam masalah kewajipan solat dan qada orang yang berada dalam keadaan sebegini (rujukan: Fath al-Bari, 1/585. Beirut: Da­­r-al-Fikr 1414H). Juga ada menghitungnya sehingga enam pendapat.

Berikut ringkasan pendapat fuqaha (ahli fekah) yang disebut dalam pelbagai rujukan ulama sejak dahulu hingga kini:
a. Solat dalam keadaan tanpa wuduk atau tayamum dan tidak perlu qada (mengulangi solat).
Ini pendapat al-Imam Malik bin Anas (meninggal 179H), al-Imam Ahmad bin Hanbal (meninggal 241H), al-Imam al-Muzani (meninggal 264H), merupakan anak murid besar al-Imam al-Syafii dan tokoh dalam Mazhab al-Syafii), qaul qadim (pendapat lama) al-Imam al-Syafi’i (meninggal 204H), Ibn al-Munzir (319H) dan lain-lain. Inilah juga pendapat yang ditarjihkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H), Ibn ‘Uthaimin dan ramai lagi.
b. Solat dalam keadaan tanpa wuduk dan tayamun tetapi wajib qada. Solat itu dilakukan bagi menghormati waktu. Ini pendapat kedua yang diriwayatkan daripada al-Imam Malik, al-Imam Ahmad dan pendapat baharu (qaul jadid) al-Imam al-Syafii.
c. Tidak wajib solat, tetapi wajib qada. Ini pendapat al-Imam Abu Hanifah (meninggal 150H), al-Imam al-‘Auza’i (meninggal 157H) dan al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H). Antara alasan mereka ialah hadis: “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci,” (Riwayat Muslim).
d. Tidak perlu solat dan tidak perlu qada. Ini dinukilkan salah satu riwayat daripada pendapat al-Imam Malik bin Anas dan golongan Mazhab Zahiriyyah.
e. Digalakkan solat dan wajib qada. Ini pendapat kelima disenaraikan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari dengan dakwaan ia antara pendapat disenaraikan oleh al-Imam al-Nawawi.

Senarai pendapat di atas kita sebutkan sekadar memaklumkan mengenai khilaf (perbezaan pendapat) ulama dalam masalah ini.

Namun, pendapat yang paling masyhur dalam pegangan umat Islam ialah pendapat yang pertama (a) dan pendapat kedua (b).

Untuk meringkaskan pemahaman dan pengamalan awam, saya bersetuju dengan pendapat pertama iaitu yang mewajibkan solat dalam keadaan tersebut iaitu tanpa wuduk dan tanpa tayamum, juga tidak wajib qada.

Antara hujah pendapat ini ialah, hadis al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Aishah r.ha yang mana sekumpulan sahabat yang bersolat tanpa wuduk, kemudian Allah menurunkan ayat tayamum. Ertinya, mereka bersolat tanpa wuduk dan juga tanpa tayamum kerana ayat tayamum belum turun.

Nabi s.a.w tidak menyuruh mereka mengulangi solat. Al-Imam al-Bukhari juga meletakkan hadis ini di bawah tajuk: (Bab: Apabila tiada air dan tanah).

Pendapat yang mewajibkan solat tanpa perlu qada dilihat lebih mendekati konsep umum ayat al- Quran dan al-Sunnah yang menyatakan Allah suka untuk meringankan beban dan agama itu mudah.

Ini terutama jika keadaan itu berlangsung dalam tempoh lama. Tidak mudah untuk menqadakan solat yang ditinggalkan berbulan-bulan, umpamanya. Firman Allah:(maksudnya): “Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN