DATA-DATA analitik yang ‘dicerap’ oleh Data Sukan yang merupakan anak syarikat Institut Sains Negara (ISN) sewaktu sesuatu perlawanan atau latihan boleh digunakan jurulatih pasukan atau persatuan sukan untuk mengesan kelemahan dan memperbaiki prestasi atlet-atletnya.
Antara data analitik yang dibekalkan oleh Data Sukan termasuklah peratusan penguasaan bola, jumlah percubaan ke arah gol, jumlah hantaran serta jumlah dribbles berjaya.
Mula beroperasi pada tahun 2019, matlamat utama Data Sukan adalah memastikan penyimpanan, penghasilan dan penggunaan data membabitkan various stakeholders di dalam industri sukan negara dapat dicapai.
—————————————————————————————————————————————————————————————
SEBELUM sepak mula perlawanan antara pasukan Akademi Kuala Lumpur Rover (KLRA) bawah 14 tahun menentang KDH Global di Padang New Camp, Petaling Jaya, Selangor, kelibat dua lelaki misteri di tepi padang mencuri pandangan.
Salah seorang daripada lelaki terbabit dilihat sibuk menekan papan kekunci komputer riba sambil rakannya giat memperbetul kedudukan tripod dan mengemaskan wayar kamera.
Sebaik perlawanan membabitkan pasukan yang bersaing dalam Liga Suparimau Pertama Zon Kuala Lumpur (KL) itu bermula, kedua-dua lelaki berkenaan begitu asyik meneliti skrin komputer riba sambil berbual sesuatu.
Selepas perlawanan berakhir dengan keputusan tanpa jaringan, kedua-dua lelaki berpakaian gelap itu berlalu pergi begitu saja menggunakan sebuah kereta.
Kebanyakan penonton pada petang itu menyangka kedua-dua lelaki tersebut merupakan wartawan televisyen yang membuat liputan perlawanan terbabit.
Hasil risikan mendapati, kedua-dua lelaki itu merupakan sebahagian watak penting terhadap kejayaan pasukan KLRA menjuarai Liga Suparimau Pertama Zon KL yang berlangsung dari Januari hingga Mac lalu.
Pengurus KLRA, Aznor Dzulkarnain Aziz menjelaskan, kedua-dua lelaki itu adalah wakil daripada sebuah syarikat tempatan dikenali sebagai Data Sukan Consulting Sdn. Bhd. (Data Sukan).
Data Sukan merupakan sebuah syarikat startup yang membantu membekalkan segala data analitik perlawanan, pemain atau atlet dalam pelbagai sukan secara terperinci menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kami telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Data Sukan sejak tahun lalu. Jadi, wakil syarikat terbabit akan datang pada perlawanan tertentu bagi membantu merekod data buat pasukan KLRA.
“Data dapat diperoleh dalam tempoh kurang 12 jam selepas perlawanan. Data-data ini digunakan bagi membantu menilai prestasi pasukan dan pemain. Ia juga memudahkan kami mengesan kelemahan serta merancang latihan bersesuai kepada pemain.
Kaedah ini cukup berkesan sehingga kami berjaya memenangi liga,” katanya kepada K2.
Antara data analitik yang dibekalkan Data Sukan termasuklah peratusan penguasaan bola, jarak pengesanan larian, jumlah percubaan ke arah gol, variasi hantaran dan banyak lagi.
“Data Sukan boleh menyediakan statistik pemain pada setiap posisi. Misalnya, bagi pemain pertahanan, kami boleh dapatkan jumlah pintasan yang berjaya dilakukan serta hantaran. Jadi, apabila diajukan kepada pemain, mereka akan tahu kelemahan yang perlu diperbaiki,” ujarnya.
Tambahnya, teknologi berkenaan turut diguna pakai kelab-kelab terkemuka di seluruh dunia bagi mengenal pasti prestasi semasa pasukan atau pemain.
Nada sama turut disuarakan oleh Ketua Jurulatih KL City Futsal, Jerry Dinesh Pereira yang melihat statistik dibekalkan Data Sukan penting dalam pembangunan seseorang pemain.
“Seorang pemain kami, Muzaffar Tahar cukup cemerlang ketika menyerang tetapi statistik daripada Data Sukan menunjukkan dia sangat lemah sewaktu bertahan terutamanya situasi satu lawan satu.
“Hasil perbincangan bersama barisan kejurulatihan, kami telah merencana satu latihan khusus. Semasa latihan, kami dapati postur badannya sangat lemah ketika bertahan dan berpusing.
“Selepas latihan dan proses menguatkan otot di dalam gimnasium, kami berjaya membetulkan posturnya dan Muzaffar mampu bertahan dengan baik selepas itu,” terangnya.

SHAMIL (depan, kanan) sewaktu Data Sukan menerima pengiktirafan sebagai anak syarikat Institut Sukan Negara (ISN).
Mula beroperasi pada tahun 2019, matlamat utama Data Sukan adalah memastikan penyimpanan, penghasilan dan penggunaan data membabitkan various stakeholders di dalam industri sukan negara dapat dicapai.
Anak syarikat Institut Sukan Negara (ISN) itu juga berhasrat menjadi peneraju dalam aspek pembangunan data lestari serta teknologi sukan berdaya maju di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Hasil kerjasama kukuh bersama ISN, Data Sukan juga kini dalam fasa terakhir membangunkan sistem integrasi bank data bagi industri sukan di mana ia boleh diguna pakai secara dalaman membabitkan multilevel stakeholders dan berupaya mengkomersialkan sistem bagi kegunaan umum.
Ketua Pegawai Eksekutif Data Sukan, Shamil Yusof berkata, pihaknya sedar betapa pentingnya sesebuah negara mempunyai penyimpanan data berintegrasi dalam usaha mencapai kelestarian pembangunan industri sukan yang mampan.
“Kami bukanlah syarikat pertama keluar dengan idea ini pada ketika itu. Alhamdulillah, mungkin traction ketika itu datang selari dengan usaha ISN yang juga ingin memperkasa pembangunan teknologi sukan serta memperkukuh kerjasama dengan pihak swasta.
“Pihak ISN telah memberi kepercayaan kepada kami untuk turut sama menggembleng tenaga dan idea membangunkan sektor industri ini bagi memperluas penggunaan, penghasilan serta pembuatan teknologi sukan tempatan,” katanya.
Shamil berkata, penggunaan data analitik sangat penting bagi meningkatkan prestasi atlet terutama ketika transisi daripada amatur kepada profesional meskipun tanpa bantuan jurulatih mahir pada fasa permulaan karier mereka.

SALAH seorang petugas sedang mendapatkan data prestasi pemain dalam satu perlawanan futsal.
Jelasnya, data yang diperoleh membolehkan seseorang itu memahami dengan lebih baik tuntutan diperlukan dalam sesebuah sukan sekali gus mampu melahirkan atlet berkualiti dengan pelan pembangunan sistematik dari peringkat awal lagi.
“Rata-rata sukan di negara ini dinilai oleh individu berdasarkan fizikal, perasaan atau emosi mereka. Saya percaya dalam sukan era moden, data analitik sangat penting dalam menterjemahkan suatu perkara yang tidak jelas.
Menerusinya juga, para ibu bapa boleh didedahkan dengan perkembangan latihan anak-anak mereka kerana saya dapati, ibu bapa di Malaysia sangat supportive dalam menghantar anak ke akademi-akademi latihan sukan di pelbagai peringkat umur seawal umur 6 tahun,” katanya sambil memberitahu idea pembangunan startup berkenaan adalah hasil cetusan idea dirinya bersama rakannya, Syed Muhammad Hafiz (SM Hafiz).
Sementara itu, SM Hafiz berkata, idea tercetus hasil perbualan harian mereka berdua yang sering berjumpa dan bermain bola sepak bersama.
“Kami berdua percaya industri sukan di negara ini mempunyai banyak potensi untuk melonjak ke tahap yang lebih hebat daripada apa kita miliki sekarang.

MELALUI kerjasama dengan Data Sukan, sesebuah pasukan boleh mendapatkan maklumat prestasi semua pemain di setiap posisi.
“Negara ini perlu bersatu dalam keterbukaan menerima dan mengaplikasi perubahan yang diperlukan mengikut acuan budaya dan sistem di Malaysia. Transformasi ekosistem industri sukan itu sendiri bergerak sangat laju dan Malaysia miliki segala infrastruktur, kepakaran dan solusi untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Kini, terdapat 20 orang petugas Data Sukan terdiri daripada pelbagai divisyen antaranya kejuruteraan AI, platform dan pemprograman digital sukan, data sukan dan analisis serta lain-lain.
Malah sehingga kini, Data Sukan menjadi antara pembekal statistik kepada beberapa pasukan dalam saingan Bola Sepak Liga Super, Netball Super League, Malaysia Premier Futsal League, Selangor Champions League, Liga Suparimau dan sebagainya.















