PETALING JAYA – Pasangan yang mengamalkan ‘virtual love’ berisiko tinggi untuk mati pucuk serta menghidap pelbagai masalah kesihatan lain terhadap alat kelamin.
Pengamal Perubatan Am, Seksual dan Reproduktif, Dr. Ahmad Ramdan Zainordin berkata, ini kerana pasangan yang mengamalkan aktiviti itu akan melakukan apa sahaja untuk memuaskan nafsu sendiri termasuk menggunakan peralatan seks.
“Terlalu kerap saya mengendalikan kes kecederaan pada alat kelamin disebabkan kerap melakukan seks virtual. Kecederaan paling banyak adalah kepedihan akibat luka dan melecet.
“Kecederaan fizikal ini kerap membawa kepada jangkitan lain seperti kudis,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurutnya, aktiviti ‘virtual love’ juga menyebabkan pasangan tiada lagi rasa keintiman serta keyakinan seksual juga berkurangan ketika bersama.
Katanya, lebih parah apabila si lelaki mengalami ereksi lemah dan ejakulasi pramatang.
“Hubungan seksual akan menjadi lebih hambar tanpa keintiman kerana pasangan sudah terbiasa dengan aktiviti seks virtual.
“Ini sudah tentu membawa kesan yang lebih buruk kepada keupayaan fizikal pasangan untuk melakukan hubungan seksual yang sebenar, sekali gus menjejaskan peluang untuk mendapatkan zuriat,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE














