fbpx
Kenaikan harga tepung gandum ketika ini memberi kesan kepada penjual makanan berasaskan bahan tersebut menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga atau mengecilkan saiz.

Kurang tepung: Peniaga kuih dan roti canai terdesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenaikan harga dan kesukaran mendapatkan bekalan gandum sejak kebe­lakangan ini memberi kesan kepada peniaga kuih-muih dan roti canai di beberapa negeri.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata peniaga bimbang de­ngan situasi itu sehingga memaksa mereka menaikkan harga kuih-muih sebanyak 20 sen sebiji bagi menampung kos-kos lain yang semakin meningkat.

Di Kota Bharu, peniaga, Hashimah Hashim terpaksa menaikkan harga jualan kuih kepada 70 sen setelah harga tepung gandum naik selepas sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

“Tiga jenama tepung gandum naik harga daripada RM2.80 kepada RM3.30 sekilogram ketika ini. Saya sedar ramai pelanggan merungut dan terkejut kerana harga kuih naik 20 sen berban­ding 50 sen sebiji sebelum ini.

“Semua jenis kuih yang dijual menggunakan tepung gandum. Jika tidak menaikkan harga, saya terpaksa mengecilkan saiznya,” katanya ketika ditemui.

Menurut Hashimah, selain kenaikan tepung gandum, bekalan bahan asas untuk membuat kuih itu sukar diperoleh di daerah ini berkemungkinan berpunca daripada tindakan segelintir kedai atau pemborong yang menyimpan stok.

“Saya tetap akan menjual kuih-muih meskipun harga tepung gandum naik kerana terdapat permintaan yang tinggi daripada pelanggan terutama pada waktu pagi,” katanya.

Sementara itu, peniaga roti canai, Asmah Che Man, 58, memberitahu, dia bimbang untuk membuka gerainya selepas mendapat tahu harga tepung gandum naik ketika ini.

“Jika harga tepung gandum naik, saya terpaksa menaikkan harga roti canai daripada RM1 kepada RM1.50 sebiji. Saya harap pelanggan tak merungut,” kata­nya.

Di Kuala Langat, peniaga kuih, Zamidah Bujang runsing memikirkan kenaikan harga tepung gandum selepas barangan asas lain seperti ayam dan sayur turut mengalami kenaikan harga sebelum ini.

“Kami yang perlu hadap pe­langgan setiap hari. Jika harga naik pelanggan akan lari. Saya ambil pendekatan tunggu dan lihat dahulu, buat masa ini saya kekalkan harga dan saiz kuih,” katanya.

Bagi pengusaha kantin sekolah, Alif Roslan, 26, kenaikan harga walaupun 10 sen memberikan kesan memandangkan taraf hidup penduduk di Kuala Sela­ngor adalah rendah.

“Saya berasa kasihan dengan ibu bapa sebab mereka perlu mengeluarkan duit belanja tambahan. Harap ada tindakan segera daripada pihak kerajaan,” ujarnya.

Di Kuala Lumpur, peniaga kuih yang mahu dikenali sebagai Jijah turut meluahkan rasa bimbang kerana pelanggan di gerai­nya semakin berkurangan dalam tempoh seminggu ini apabila dia terpaksa menaikkan harga jualannya.

“Pada bulan puasa, saya jual kuih 50 sen sebiji, tapi selepas harga tepung naik saya terpaksa naikkan harga kepada 60 sen sebiji,” katanya.

Di Kangar, pengusaha kilang roti Sayyidah Bakery, Mohd. Fakhruddin Arrazi Abdullah berkata, pihak pengilang roti memang menjangkakan berlakunya peningkatan harga tepung gandum.

Walaupun kenaikan bahan asas itu tidak terlalu tinggi, namun kenaikan bahan lain se­perti yis, mentega dan bahan pengawet memberi kesan.

“Saya harap kerajaan mengambil tindakan segera untuk mengawal kenaikan harga tepung gandum dan bahan-bahan lain supaya kenaikannya tidak terlalu mendadak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN