fbpx
PAK TAM menunjukkan ikan peacock bass yang berjaya ditawannya di tasik tersebut.

Peacock bass jadi buruan pemancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEINDAHAN tasik di Empangan Timah Tasoh, Perlis tidak dapat disangkal terutama kepada pencinta alam semula jadi.
Kawasan tersebut menjadi antara destinasi tumpuan penduduk negeri itu serta pelancong untuk beriadah.

Selain itu, tasik berkenaan juga terkenal dalam kalangan kaki pancing yang mahu memburu pelbagai jenis ikan seperti peacock bass, lampam, sebarau dan toman.

Pemancing, Zaharuddin Zanua, 41, dari Kampung Bukit di Pokok Sena, Kedah berkata, dia dan beberapa rakannya akan berkunjung ke tasik itu untuk memburu peacock bass setiap bulan.

Katanya yang lebih dikenali sebagai Pak Tam, terdapat pelbagai spesies ikan di situ, namun yang paling menjadi buruan mereka ialah peacock bass.

“Saya dan rakan-rakan sanggup datang jauh semata-mata untuk memancing di situ untuk memburu peacock bass.

“Walaupun memburu di tasik sahaja, ikan-ikan di sini terutama peacock bass dan sebarau sukar untuk ditewaskan. Bagi saya, ia perlukan pengalaman untuk menaikkannya,” kata Pak Tam.

Ujarnya, dia menggemari ikan peacock bass kerana isinya sedap seperti ikan siakap.

RAKAN-RAKAN Pak Tam teruja menunjukkan hasil tangkapan mereka iaitu ikan peacock bass di tasik Empangan Timah Tasoh, Perlis.

Menurut Pak Tam, dia dan rakan-rakannya akan keluar dari rumah pada pukul 4 pagi dan mula melepaskan joran pada pukul 6 pagi hingga 10 pagi.

“Masa paling sesuai untuk memancing ikan adalah sebelah pagi kerana airnya masih sejuk. Sebagai pemancing, kita perlu tahu waktu yang paling ganas ikan mencabar pemancing dan waktu mana pula ikan kurang bergerak.

“Kebiasaannya pada waktu pagi sekitar pukul 6 pagi hingga 10 pagi dan lewat petang ikan mudah terperangkap kerana air sejuk berbanding tengah hari,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, pemancing juga perlu tahu teknik memancing ikan dengan cara permukaan, pertengahan dan dalam tasik.
Jelas Pak Tam, dia menggunakan teknik gewang dengan umpan palsu untuk menarik minat ikan yang terdapat di tasik itu.

IKAN sebarau yang berjaya dipancing di tasik Empangan Timah Tasoh.

“Setiap kali turun ke tasik itu, kami akan membawa 50 gewang yang dibuat sendiri dengan kayu untuk menarik perhatian ikan di tasik tersebut yang antaranya berbentuk ikan dan sesudu.

“Gewang yang digunakan itu bergantung kepada jenis ikan yang saya mahukan. Contohnya, ikan sebarau pilihan gewangnya berwarna-warni dan bentuk seperti ikan.

“Ikan sebarau sangat peka apabila melihat warna dan gewang bentuk ikan di dalam tasik, seterusnya mengejar gewang itu, apatah lagi yang bercahaya kerana pasti menarik perhatian ikan di tasik itu,” ujarnya.

Menurut Pak Tam lagi, pengalaman paling tidak dapat dilupakan adalah ketika bertarung dengan sebarau selama 15 minit.

“Saya terpaksa bertarung dengan sebarau itu yang bertindak sangat agresif. Bagi menawannya, saya terpaksa melepas dan menarik tali secara perlahan-lahan supaya tidak putus.

SELAIN ikan peacock bass dan sebarau, ikan toman juga boleh didapati di tasik itu.

“Keadaan pada masa itu juga mencabar kerana angin kuat dan permukaan air tasik beralun yang mana saya nyaris mahu melepaskannya sahaja. Bagaimanapun dengan semangat kawan-kawan, saya bertenang dan cuba menarik secara perlahan-lahan sehinggalah berjaya mengangkat ikan seberat lima kilogram itu,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN