PETALING JAYA – Gelagat seorang lelaki menyamar sebagai anggota penguat kuasa memegang alat ‘speed trap’ mencuri tumpuan ramai.
Rakaman yang dikongsi seorang pengguna media sosial, Fieza Mieza memperlihatkan lelaki itu menggunakan lampu dan beberapa barangan lain seolah-olah sedang memerangkap tahap kelajuan kenderaan yang melalui laluan tersebut.
Menurut Fieza, lelaki tersebut merupakan bapanya dan bertindak sedemikian disebabkan berang dengan sikap sesetengah pemandu melebihi had laju kdi kawasan kampung.
“Bila ayah buat macam ini memang banyak kenderaan bawa perlahan,” katanya.
Dalam pada itu, video tersebut menjadi tular sejak kelmarin dan rata-rata orang ramai terhibur dengan gelagat lelaki berkenaan dalam menangani masalah pemandu tidak berhemah.
Ada juga pengguna yang sempat berseloroh mencadangkan alatan lain digunakan bagi mengelirukan pemandu.
“Terbaik abang, kreatif sama-sama kita tangani masalah pemandu ‘pelesit’. Memang ramai yang pandu laju di kawasan kampung dan jalan sempit,” kata Fairuz.
“Suruh ayah pegang alat pengering rambut, baru nampak ‘real’,” seloroh seorang pengguna.
“Bagi lampu, mesti terkejut pemandu yang lalu, biar mereka takut sikit,” komen Syarina. – KOSMO! ONLINE