fbpx
Gambar hiasan.

Pengusaha kantin lingkup jika RMT tak tambah bajet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kira-kira 7,000 pengusaha kantin sekolah tertekan apabila mereka masih menerima ‘bajet’ hanya RM2.50 bagi setiap murid untuk menyediakan menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT), sedangkan kos yang terpaksa ditanggung kini bernilai RM4.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairuddin Hamzah berkata, program RMT kini dianggap satu bebanan kepada ramai pengusaha kantin di negara ini ekoran kenaikan kos bahan mentah dalam penyediaan menu makanan itu.

Menurutnya, pengusaha kantin yang terlibat dalam program itu langsung tidak mendapat keuntungan, sebaliknya terpaksa menambah kos sebanyak RM1.50.

“Pihak sekolah pula tetap meminta kami menyediakan menu-menu seperti nasi, ayam, buah-buahan dan air milo yang kini bernilai RM4. Kami nak ubah menu atau selaraskan harga tidak boleh sebab sudah terikat dengan kontrak.

“Kalau macam ini, pengusaha kantin boleh lingkup jika terus tanggung kerugian,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Khairuddin memberitahu, peruntukan RM2.50 itu mungkin memadai beberapa tahun lalu sebelum berlakunya peningkatan harga barang mentah seperti ayam dan telur.

Bagaimanapun, katanya, keadaan telah berubah dan kos bagi menyediakan hidangan sebagaimana yang dikehendaki Kementerian Pendidikan (KPM) sebenarnya telah melebihi peruntukan RM2.50 yang disediakan kerajaan.

“Peralihan fasa endemik juga menyaksikan bilangan rakyat di bawah kategori B40 telah meningkat, sekali gus jumlah penerima bantuan RMT juga semakin banyak.

“Situasi ini menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung pengusaha kantin turut bertambah,” ujarnya.

Beliau berkata, PPKSM telah berulang kali memohon agar peruntukan RMT dikaji semula dan dinaikkan kepada RM4 sejak beberapa tahun lalu, malah isu itu juga pernah dibincangkan di Parlimen, tetapi akhirnya senyap tanpa penyelesaian.

“Ada juga beberapa kes yang pernah viral sebelum ini apabila pengusaha kantin mengurangkan kuantiti dan kualiti untuk menyesuaikan kos dengan bajet daripada kerajaan.

“Yang menjadi mangsa bukan sahaja pengusaha kantin, malah murid-murid miskin turut terkesan. Bagi majoriti pengusaha kantin yang terus komited menyediakan makanan menepati kualiti, mereka terpaksa menanggung kerugian yang berterusan,” katanya.

Khairuddin memberitahu, jumlah penerima RMT bergantung pada suatu kawasan, dengan ada dalam kalangan pengusaha kantin yang perlu menyediakan makanan kepada 30 murid, bahkan angka itu boleh mencecah hampir 500 penerima.

Mengikut rekod KPM, seramai 2,607,617 murid sekolah rendah di seluruh negara mendapat manfaat daripada RMT sejak 2014.

Ia membabitkan 458,483 murid pada 2018, dengan peruntukan sebanyak RM250 juta di semua sekolah bantuan kerajaan.

Rekod KPM juga menunjukkan seramai 59,383 murid menerima manfaat RMT pada 2014, 536,103 murid (2015), 538,620 murid (2016) serta 515,028 murid (2017).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN