fbpx

Rumah dinding zink tempat berteduh empat beranak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rasemu (kiri) menunjukkan keadaan dapur rumahnya yang berdindingkan kepingan zink ketika ditemui di Jalan Tahana, Johor Bahru baru-baru ini.

JOHOR BAHRU – Kehidupan empat beranak yang tinggal dalam rumah yang dibina di atas tanah rizab sungai di Jalan Tahana di sini semakin sukar sejak mereka kehilangan ketua keluarga yang me­ninggal dunia pada tahun lalu.

Rasemu Kasmin, 48, berkata, arwah suaminya, Djaeroni Mahmutt meninggal dunia ketika umat Islam mahu meraikan Syawal pada 8 Mei 2021.

Menurut ibu tiga anak itu, setelah kematian suaminya, dia yang merupakan warga Indonesia bagaikan ‘hilang sebelah kaki’ apabila terpaksa membesarkan anak-anak dengan kudrat sendiri.

“Saya datang ke Malaysia pada 2003 selepas menikah dengan suami, arwah yang berstatus Penduduk Tetap (PR) membawa saya untuk mencari rezeki di sini.

“Sebelum arwah meninggal dunia, dia membina rumah di atas tanah rizab sungai dan kami tinggal di sini bersama tiga anak berusia sembilan, 13 dan 15 tahun,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Rasemu, sebaik rumah itu siap mereka menggunakan lilin pada waktu malam, manakala dapur pula berdin­dingkan zink.

“Sebelum suami pasang solar, malam kami bertemankan cahaya lilin. Sumber air pula atas ihsan jiran yang sudi menyambungkan paip,” katanya.

Rasemu membesarkan anak-anak dengan berniaga secara ke­cil-kecilan di tepi Jalan Tahana. Wa­nita itu bagaimanapun buntu memikirkan nasib mereka yang sedang membesar dan bersekolah.

“Kalau ikutkan hati, saya mahu pulang ke kampung, tetapi memikirkan masa depan anak-anak saya tarik nafas dalam-dalam.

“Visa juga sudah tamat tempoh pada 22 September 2021, namun pasport masih sah sehingga 2026. Saya buat permohonan pembaharuan visa, namun masih tertangguh kerana penjamin berpindah ke Kelantan. Harap ada pihak yang lebih arif dapat membantu saya meneruskan kehidupan di sini,” katanya.

Wanita itu merayu mana-mana pihak terutama syarikat korporat dalam menyediakan tempat tinggal yang lebih baik untuk mereka empat beranak.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 019-7120545 atau sumba­ngan menerusi akaun Bank Rak­yat milik anaknya, Wibowo Utama bernombor 22-4574058-5.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI