PETALING JAYA – Hujan lebat, ribut petir serta angin kencang dijangka melanda lapan buah negeri sehingga pukul 10 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di Facebook berkata, antara negeri yang terlibat adalah Kedah, Perak, Kelantan, Pahang, Johor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jelas MetMalaysia, bagi negeri Kedah ia melibatkan daerah Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling, manakala di Perak ia melibatkan kawasan di Hulu Perak.
“Di Kelantan pula, ia melibatkan daerah Jeli dan Gua Musang, manakala di Pahang membabitkan kawasan sekitar Maran, Kuantan serta Pekan.
“Untuk negeri Johor, hujan lebat serta ribut petir dijangka membadai kawasan Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru,”ujar MetMalaysia.
Sementara itu, bagi negeri Sarawak kata MetMalaysia antara kawasan yang terlibat adalah di Serian, Samarahan (Samarahan dan Asajaya), Sri Aman (Sri Aman), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Kapit, Bukit Mabong dan Belaga), Bintulu, Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
“Manakala, bagi Sabah ia membabitkan daerah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Nabawan dan Keningau) dan Sandakan (Tongod), manakala di Wilayah Persekutuan Labuan ia melibatkan keseluruhan kawasan di negeri itu,”katanya.-KOSMO! ONLINE
















