fbpx
PAKAR sakit tuan terkenal tanah air, DR. MOHD. ISMAIL MOHD. TAMBI mengakui mengendalikan banyak kes masalah mati pucuk lelaki yang antaranya akibat amalan menonton pornografi secara kerap.

Wawancara: ‘Terikat’ amalan pornografi musnahkan hubungan suami isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ramai rakyat negara ini yang tidak sedar bahawa banyak perkara yang boleh menyebabkan masalah mati pucuk atau disfungsi erektil (ED) dalam kalangan lelaki, antaranya adalah tabiat terlalu kerap menonton video lucah atau bahan pornografi dan masalah kesihatan badan.
Malah, kajian mendapati terdapat peningkatan dalam jumlah lelaki Malaysia yang tidak dapat melakukan hubungan intim dengan pasangan mereka akibat kerap menonton bahan lucah sehingga menyebabkan masalah-masalah lain dalam rumah tangga seperti perceraian.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut tentang isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Pakar Sakit Tuan, Dr. Mohd Ismail Mohd. Tambi di pejabatnya di Damai Specialist Hospital, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Masyarakat di negara ini jarang memperkatakan masalah kesihatan lelaki terutama melibatkan mati pucuk serta kegagalan hubungan kelamin kerana ramai anggapnya tabu. Apa pandangan Dr. dalam hal ini?
ISMAIL: Pertama sekali, kita harus tahu bahawa ini (masalah mati pucuk) merupakan satu masalah kesihatan.
Ia bukan muncul secara tiba-tiba, sebaliknya muncul kerana ada perubahahan kesihatan yang berlaku kepada diri kita. Ini bermakna, ada perubahan negatif yang berlaku kepada diri dan memerlukan kita berjumpa dengan doktor bagi meneliti tahap kesihatan kita.
Apa yang saya perhatikan, lelaki kurang kesedaran untuk berjumpa dengan doktor jika dibandingkan dengan wanita. Wanita lazimnya mempunyai sikap lebih terbuka dan akan segera berjumpa doktor sekiranya menyedari sesuatu yang tidak kena pada kesihatan mereka.
Bagi lelaki pula, mereka lazimnya bimbang sekiranya berbuat demikian, doktor akan memberitahu masalah kesihatan dalaman yang ‘menakutkan’.
Saya memahami situasi ketakutan itu, namun apa yang anda perlu faham adalah sekiranya berjumpa doktor pada peringkat awal, masalah sebenar boleh dikenal pasti dan boleh menyelamatkan nyawa anda. Doktor akan mengenal pasti adakah masalah mati pucuk atau prestasi itu ada kaitan masalah lain seperti kencing manis atau darah tinggi.

Dr. merupakan doktor pakar pertama terlibat secara rasmi dalam kajian klinikal sumber herba negara berasaskan tongkat ali. Selain herba itu, apa lagi herba-herba lain yang mendapat perhatian doktor?
Setakat ini, saya hanya menjalankan kajian terhadap tongkat ali memandangkan saya diberi mandat untuk menjalankan kajian terhadap tumbuhan itu oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tahun 1996.
Negara mempunyai satu jawatankuasa berkenaan herba-herba di Malaysia dan saya diberi mandat untuk menjalankan kajian klinikal berkaitan tongkat ali dan daripada situlah, bermulanya kajian saya.
Jika dilihat, tongkat ali Malaysia kini merupakan satu nama cukup besar. Namun, jika bercakap tentang herba-herba lain, ia sememangnya sudah lama berada dalam pasaran tetapi kami hanya menjalankan tinjauan terhadap herba-herba itu.

Apa khasiat tongkat ali yang sebenarnya untuk kesihatan kerana sebelum ini, terlalu banyak cerita mengenainya yang hanya menjurus kekuatan tenaga batin?
Jika bercakap tentang tongkat ali, ia sememangnya mengandungi banyak khasiat, malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak tinjauan dan kajian dilakukan berkenaannya yang mendapati khasiatnya hebat. Ia bukan hanya memfokuskan pada kesihatan batin, malah banyak khasiat lain seperti mengurangkan stres, selain meningkatkan tahap hormon testosteron. Hormon testosteron ini dapat meningkatkan syahwat, baik lelaki mahupun wanita.
Produk tongkat ali juga sudah berada dalam senarai perubatan Barat bagi meningkatkan testosteron. Malah, tongkat ali juga dapat meningkatkan semua hormon dalam badan.
Tongkat ali dianggap sebagai konduktor yang menyeimbangkan tubuh badan kita. Produk sebegini dipanggil adaptogenic dan dianggap cukup hebat. Ia juga meningkatkan kecergasan dan menyegarkan tubuh. Produk adaptogenic lain popular adalah ginseng. Jika dilihat dalam jurnal-jurnal perubatan, tongkat ali digelar ‘ginseng Malaysia’.

Masalah kegagalan memberikan yang terbaik dalam hubungan intim suami isteri biasanya diambil mudah kaum lelaki. Mengapa?
Masalah seperti mati pucuk dan sebagainya akan dianggap sebagai satu ‘kegagalan’ kepada lelaki. Sebagai lelaki, mereka sepatutnya meneliti sebab ia berlaku. Sebagai contoh, sekiranya seorang suami mahu melakukan hubungan intim bersama isteri, darah akan mengalir lancar ke bahagian kemaluan mereka dan menjadikan anggota itu tegang.
Namun, jika perkara itu tidak berlaku, ia boleh disebabkan pelbagai faktor, antaranya kencing manis, tekanan darah tinggi, masalah kolesterol dan sebagainya. Faktor lain yang boleh mengganggu kelancaran hubungan kelamin adalah tekanan, namun ia lazimnya hanya berlaku dalam tempoh singkat. Sebaik sahaja seseorang itu tidak berada dalam tertekan, mereka akan berasa normal. Apa yang membimbangkan adalah masalah kesihatan berterusan.

Ramai orang apabila bermasalah hubungan kelamin ambil jalan mudah membeli pil-pil yang banyak dijual terutama di media sosial. Apa nasihat Dr.?
Saya ingin menegaskan bahawa produk-produk yang dijual di luar adalah produk-produk yang tiada kelulusan kesihatan dan dihasilkan tanpa kajian. Ia dihasilkan untuk jualan dan kebanyakan produk ini mengandungi bahan kimia yang bertaraf racun.
Jadi, ada kemungkinan sekiranya anda tersalah makan, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan yang ketara seperti strok, masalah buah pinggang, kerosakan pada hati dan lebih buruk lagi menyebabkan maut. Ia dijual secara berleluasa di media sosial dan amat sukar untuk dikawal. Ini memerlukan kesedaran peribadi daripada individu itu sendiri.

Ada yang menghadapi masalah ereksi pada usia muda. Mereka tiada sebarang penyakit, tetapi kurang berminat untuk bersama isteri. Apa sebenarnya berlaku?
Golongan sebegini perlu datang berjumpa dengan doktor bagi membolehkan dibuat pemeriksaan lanjut mengenai tahap kesihatan.
Rasa kurang minat itu mungkin disebabkan masalah kesihatan dalaman yang tidak diketahui atau mungkin juga disebabkan tekanan.
Sekiranya seseorang itu tertekan, perasaannya tidak akan bergelora, sekali gus menyebabkan dia kurang rasa berminat untuk bersama isteri.

Terdapat pandangan sesetengah pihak, mereka yang suka menonton pornografi terutama bagi lelaki yang telah berkahwin boleh mendatangkan lemah tenaga batin. Adakah pandangan ini benar?
Saya banyak mengendalikan kes-kes yang mana lelaki mengalami masalah mati pucuk atau tidak dapat berereksi dengan pasangan. Selepas diselidiki, ternyata mereka terikat dengan amalan menonton pornografi secara kerap. Kononnya, mereka melakukan perkara tersebut (menonton pornografi) kerana mahu cuba untuk mendapatkan perasaan berahi.
Namun, ia sebenarnya berbahaya memandangkan golongan ini akan berahi dengan apa yang mereka tonton dan bukannya terhadap pasangan mereka sendiri. Apabila mereka melihat pasangan sendiri, rasa berahi itu tiada, menyebabkan mereka gagal beraksi dengan cemerlang. Malah, jika perkara itu berterusan, ia boleh menyebabkan lelaki mengalami apa yang dipanggil mati pucuk akibat pornografi.

Bagaimana untuk lelaki kekalkan kesuburan dengan meningkatkan kualiti sperma dan mengelakkan masalah mandul?
Keadaan kesihatan sebelum berkahwin dan selepas berkahwin mungkin mengalami perbezaan. Sebagai contoh, sebelum berkahwin, anda membuat ujian air mani dan semuanya dalam keadaan okey.
Namun, selepas berkahwin, keadaan air mani atau kualiti sperma yang dihasilkan mungkin merosot.
Sekiranya anda dan pasangan merancang mendapatkan anak dalam masa terdekat, sebaiknya jumpa doktor untuk lakukan pemeriksaan teliti terhadap tahap kesihatan diri.

Masalah obesiti dikatakan tahap hormon lelaki berkurangan dan ini boleh mengganggu penghasilan sperma. Apa yang boleh dilakukan bagi mereka yang terlibat?
Apabila seseorang lelaki itu mengalami masalah obesiti, dia akan banyak menghasilkan hormon wanita. Sekiranya hormon wanita itu berlebihan, maka proses pembiakan sperma itu tergendala.
Apabila lelaki itu berjaya mengurangkan berat badan, maka keadaannya akan pulih.
Namun, selain obesiti, masalah Covid-19 juga terbukti menyebabkan ketidaksuburan pada lelaki yang menjejaskan hormon dan pembiakan sperma. Terdapat beberapa kes yang mana si suami dijangkiti Covid-19 dan kemudiannya pulih. Namun begitu, dia mendapati mengalami masalah tenaga batin dan datang berjumpa dengan saya untuk meneliti tahap kesuburan. Antara simptom lain adalah mudah penat dan juga nafsu merosot yang merupakan kesan daripada Covid-19 terhadap kesihatan lelaki. Sekiranya masalah ini berlaku, terdapat kaedah rawatan yang akan dijalankan kepada mereka.

Apa nasihat Dr. kepada lelaki-lelaki di luar sana sebelum berumah tangga?
Jika dilihat, dari segi batin, tiada sebarang persiapan khusus yang perlu dilakukan sebelum berumah tangga. Apa yang penting adalah memastikan tubuh badan kita dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan.
Kedua, pastikan kita melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan hukum melakukan hubungan intim dan panduan berkeluarga bersama pasangan. Itu sahaja, anda tidak perlu pun melakukan perkara-perkara seperti melakukan urutan batin atau sebagainya sebelum mendirikan rumah tangga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN