PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di 12 negeri sehingga pukul 5 petang nanti.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, cuaca tidak menentu itu melibatkan seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala beberapa kawasan di negeri Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.
“Di Kelantan melibatkan kawasan Jeli manakala di Pahang pula di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Bera dan Rompin.
“Bagi Negeri Sembilan antara kawasan yang terjejas di Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin. ” katanya hari ini.
Tambahnya, beralih ke Melaka hanya di kawasan Jasin sementara di Johor hujan lebat di kawasan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Jelas MetMalaysia, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
















