PUTRAJAYA – Kes Covid-19 dijangka meningkat selepas sambutan perayaan Aidilfitri namun, kebanyakan kes tersebut melibatkan kategori satu dan dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, pemerhatian dalam tempoh dua bulan ini menunjukkan, kebanyakan kes Covid-19 adalah kategori satu dan dua dengan 99.5 peratus malah, pengurangan turut melibatkan kemasukan ke hospital dan Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Selain itu, penggunaan bantuan alat pernafasan semakin berkurang dan kematian juga berkurang iaitu satu angka sahaja.
“Pada masa sama, kita lihat lebihan kematian iaitu pada 2020 dan enam bulan 2021 amat rendah kalau dibandingkan sebelum pandemik. Kita dapati Julai dan Ogos ada lonjakan lebihan kematian namun, dengan liputan vaksin tinggi iaitu Surge Capacity Lembah Klang berjaya menurukan kes kematian pada Ogos, September dan bulan seterusnya,” katanya pada Majlis Sambutan 1 Syawal Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, liputan vaksin dewasa terkini melebihi 99 peratus, untuk remaja pula 92 peratus manakala, bagi dos penggalak mencecah hampir 70 peratus.
“Ini beri keyakinan untuk membuka semua sektor kembali seolah-olah pre-pandemik, bagaimanapun Covid-19 belum berakhir. Angka semalam Covid-19 juga merekodkan 1,503 kes dan ini perkembangan baik -KOSMO! ONLINE
















