BACHOK – Tiga penunggang motosikal maut dalam tiga kejadian berasingan di daerah ini sejak Ops Selamat dilancarkan pada 28 April lalu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, ketiga-tiga lelaki itu berusia dalam lingkungan 16 hingga 20 tahun.
Menurutnya, siasatan mendapati, kesemua mangsa terbabit kemalangan di Beris Kubor Besar, Kandis dan Wakaf Aik di sini.
“Semasa kemalangan, mangsa yang terlibat di Wakaf Aik tiada lesen memandu dan tidak memakai topi keledar.
“Sepanjang Ops Selamat, kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal di daerah ini masih terkawal kerana anggota polis sering menjalankan pemantauan di beberapa kawasan yang menjadi tumpuan remaja bermotosikal,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas melancarkan Ops Selamat Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok di sini, hari ini.
Menurut Mohamad Ismail, pihaknya tidak teragak- agak mengambil tindakan termasuk mengeluarkan saman terhadap remaja yang tiada lesen memandu dan menunggang motosikal. – KOSMO! ONLINE
















