fbpx
Gambar hiasan.

Berbaloi berbelas jam ‘berkampung’ atas jalan pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jutaan warga kota yang pulang ke kampung semalam untuk beraya terpaksa menempuh perjalanan sehingga 15 jam ekoran kesesakan teruk sejauh berpuluh-puluh kilome­ter di lebuh raya seluruh negara.

Malah, ada antara perantau yang terpaksa tidur di atas bonet dan di dalam kereta selain berhenti di tepi jalan untuk merehatkan badan.

Walaupun terpaksa menem­puh kesukaran itu, mereka masih menganggap perjalanan pulang tetap berbaloi selepas dua tahun tidak dapat menyambut hari raya bersama ibu bapa dan adik-beradik akibat pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan.

Berkongsi pengalaman, seorang pekerja swasta, Mohd. Afiq Mohd. Yani, 26, berkata, dia bersama isterinya bergerak dari Kuala Lumpur pukul 8.30 malam kelmarin selepas berbuka puasa.

Menurutnya, sepanjang perjalanan ke kampung di Kubang Kerian, Kota Bharu, berlaku ke­sesakan teruk ekoran jumlah kenderaan yang banyak di beberapa lokasi terutama di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

“Kesesakan ini menyebabkan perjalanan kami ke Kelantan telah mengambil masa kira-kira 15 jam berbanding hampir 8 jam pada hari-hari biasa.

“Sepanjang perjalanan, dua kali juga saya berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk meregangkan otot-otot badan yang sudah keletihan ke­rana berada lama dalam kereta,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.


Kenderaan bergerak perlahan di Lebuh Raya Utara-Selatan susur keluar Gopeng arah utara semalam. – ZULFACHRI ZULKIFLI

Mohd. Afiq memberitahu, raya kali ini merupakan tahun pertama dia dan isteri beraya sebagai pasangan suami isteri dan begitu teruja apabila dapat pulang ke kampung mentuanya itu.

Seorang penjawat awam, Norhidayatul Asmaliah Kasim, 25, berkata, dia dan suami terpaksa menempuh perjalanan selama hampir 12 jam untuk sampai di Gerik, Perak dari Serdang, Selangor ekoran kesesakan luar biasa di lebuh raya.

Bagaimanapun, dia merasakan perjalanan itu masih berbaloi, ditambah pula rasa yang begitu teruja serta gembira untuk pulang ke kampung beraya.

“Tak kisah duduk lama di dalam kereta sampai sakit pinggang, janji sampai kampung boleh sambut raya dengan ke­luarga. Berbaloi perjalanan 12 jam selepas dua tahun tidak dapat pulang beraya,” ujarnya.

Norhidayatul memberitahu, dia dan suami memulakan perjalanan sekitar pukul 10.30 malam kelmarin dari Serdang dan sampai Gerik kira-kira pukul 10 pagi.

Katanya, kesesakan kali ini memang teruk, seolah-olah semua orang ‘balas dendam’ untuk pulang ke kampung.

Seorang lagi penjawat awam, Mohammad Shahrul Rosdi, 32, pula memulakan perjalanan pulang ke Sik, Kedah dari Shah Alam seawal pukul 3 pagi semalam kerana menganggap mungkin tidak perlu berdepan kesesakan di lebuh raya.

“Namun, kenderaan tetap ba­nyak di Lebuh Raya Utara-Selatan meskipun di awal waktu pagi.

“Walaupun perlu berdepan dengan kesesakan yang lama hampir 10 jam nak sampai Kedah, saya tak kisah makan atau minum, tidur di dalam kereta, janji balik raya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN