fbpx
BAGI Dr. Zulkifli, meraikan 1 Syawal dengan sederhana adalah lebih baik daripada menunjukkan kemewahan dengan berhutang.

Tak salah ziarah kubur di pagi raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM masa sehari dua lagi umat Islam akan menyambut kedatangan 1 Syawal yang dinanti-nantikan semua selepas sebulan menahan lapar dan dahaga berpuasa di bulan Ramadan.

Lebih manis lagi, pada tahun ini orang ramai berpeluang menyambutnya bersama keluarga masing-masing di kampung selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian ekoran pandemik Covid-19.

Bagi Kolum Wawancara minggu ini, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri membicarakan tentang makna sebenar Aidilfitri serta hal-hal lain berkaitan hari raya.
——————————————————————————————————————————————————————————–
SETELAH sebulan melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan, umat Islam bakal meraikan kemenangan itu dengan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam masa terdekat.

Sambutan Aidilfitri pada tahun ini pasti meriah setelah dua tahun umat Islam di negara ini tidak dapat pulang ke kampung untuk meraikannya bersama keluarga tersayang disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Bagi membincangkan tentang makna sebenar Aidilfitri serta hal-hal lain berkaitan hari raya, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Tidak lama lagi kita akan menyambut hari raya Aidilfitri. Boleh Datuk kongsikan, apakah makna sebenar Aidilfitri dan bagaimana penghayatan yang sepatutnya?

DR. ZULKIFLI: Perkataan Aidilfitri sebenarnya memberi dua makna iaitu Aid dan Fitri.

Pertama Aid bermakna pengulangan yang menjelaskan sifat hari raya itu sendiri berulang pada setiap tahun.

Aid juga pengulangan dengan maksud pada bulan Ramadan, kita perlu berpuasa dan selepas itu menjalani aktiviti seperti biasa yang sebelum ini tidak boleh dilakukan ketika berpuasa.

Fitri pulak bermakna fitrah atau semula jadi yang mana setelah kita berpuasa di bulan Ramadan, berqiam, berzikir, bermunajat dan lain-lain, maka Allah ampunkan dosa yang kita harap-harapkan. Ia seolah-oleh kita seperti fitrah atau semula jadi selamat daripada dosa berdasarkan nas hadis Nabi SAW.

Fitri juga bermakna zakat fitrah yang mana ia menjadi penampung segala kelemahan dalam puasa kita dan untuk menyantuni serta memberi makan kepada orang miskin.

Hal ini berdasarkan hadis nabi SAW iaitu zakat fitrah itu bersifat menyucikan bagi orang yang berpuasa dan memberi makan kepada orang-orang miskin.

Jadi, apabila tiba hari raya, ia diraikan oleh semua masyarakat Islam tanpa mengikut status.

Semua bergembira dan berasa gembira. Itulah maksud Aidilfitri.

Justeru, bila mana semangat Aidilfitri hendak dizahirkan, sebenarnya bila kita masuk dalam madrasah mukhyyam tarbawi Ramadhan, yang mana kita telah diproses mengikuti program Tuhan dengan dengan acara ibadah yang wajib ataupun sunat, yang mana dengan sebab kita patuh dan taat itu, berharap memperoleh taqwa.

Hasil daripada natijah kejayaan itulah, maka kita raikan kegembiraan hari raya kita dengan takbir.

Oleh itu, takbir dianggap lambang kemenangan. Kita gemakan takbir untuk menggambarkan syukur kepada Allah kerana telah berjaya berpuasa, tarawih, membaca al-Quran, bersedekah dan lain-lain lagi.

Sebab itu Allah menyebut, selepas selesai ibadah puasa dan hendaklah kamu membesarkan Tuhan kamu di atas dengan petunjuk dan hidayah yang dikurniakan kepada kamu dan mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bersyukur.

Banyak orang lupa atau tidak sedar dengan galakan melakukan amalan-amalan sunat di Aidilfitri. Apa amalan-amalan sunat tersebut dan bagaimana untuk menggalakkan umat Islam menghidupkannya?

Dalam Islam, kita akan lihat amalan sunat ini amat banyak terutamanya ketika menyambut hari raya.

Pertama sekali, kita gemakan dengan takbir dan hiasilah hari raya dengan takbir.

Selain itu, antara sunat lain pada hari raya adalah dengan mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian baharu.

Amalan lain adalah sunat makan sedikit sebelum pergi bersolat Aidilfitri dan pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan lain.

Hal ini berdasarkan hadis, daripada Jabir R.A katanya: “ Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya’.

Selain itu, sunat juga untuk saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Itu adalah amalan para salafussoleh.

Di sini, saya juga ingin menyebut beberapa kesilapan adab yang menyalahi sunnah Rasulullah SAW ketika kita menyambut hari raya.

Antara adab tersebut ialah tidak melakukan solat hari raya dan tidak pergi ke tempat solat, sebaliknya hanya berada di rumah.

Banyak menonton rancangan televisyen sehingga tiada dalam ‘kamusnya’ untuk menziarahi sanak saudara.

Hal ini semakin membarah kerana tarikan rancangan yang begitu menarik lagi melalaikan.

Selain itu, tidak menutup aurat atau berpakaian mencolok mata tanpa mengikut syariat Islam juga menyalahi sunnah.

Hendaklah juga kita menjauhi ‘perangai’ beraya di rumah rakan-rakan dalam tempoh amat panjang sehingga mengganggu tuan rumah, mengkritik makanan yang dihidangkan atau membandingkan kelazatan makanan antara satu rumah dengan rumah yang lain.

Meminta duit secara berlebih-lebihan sehingga perasaan tuan rumah tertekan dan tidak selesa juga perlu dielakkan.


MENURUT Dr. Zulkifli, hidupkan amalan sunnah ketika menyambut Aidlfitri semoga mendapat lebih keberkatan daripada Allah.

Saban tahun ketika menyambut Aidilfitri, umat Islam pasti akan berkunjung ke pusara keluarga yang telah meninggal dunia sebagai tanda ingatan. Pada pandangan Datuk, adakah amalan ini selari dengan tuntutan Islam kerana ada pihak mengatakan tidak boleh kerana pada mereka, hari raya adalah hari kemenangan dan kegembiraan, bukan bersedih?

Menziarahi kubur pada hari raya atau bulan Ramadan telah menjadi perbahasan para ulama.

Ada dua pandangan dalam isu ini.

Pertama,hukumnya adalah makruh dan tidak dibenarkan dan tidak digalakkan, bahkan ia dianggap bidaah.

Ini kerana, tiada nas yang menunjukkan Rasulullah SAW menziarahi kubur pada hari raya.

Bahkan Baginda SAW melayani tetamu dan saling kunjung- mengunjungi antara satu sama lain bagi menzahirkan kegembiraan.

Kedua,hukumnya adalah harus.

Ini kerana, tidak ada perintah dan larangan khusus, di samping mengambil pendapat umum berkenaan perintah ziarah kubur.

Saya berpandangan, hukumnya adalah dibolehkan sama ada hari raya, bulan Ramadan dan bulan-bulan lain.

Tambahan pula zaman sekarang, ramai yang bekerja di luar atau telah berhijrah keluar dari kampung.

Satu-satunya peluang untuk mereka balik ke kampung halaman adalah ketika cuti hari raya. Maka, peluang itu juga dimanfaatkan untuk menziarahi kubur.

Antara ulama yang berpendapat hukumnya sunat adalah dalam Fatawa al-Hindiyyah yang menyebut, sebaik hari ziarah kubur antara hari raya.

Suruhan Baginda SAW untuk menziarahi kubur bersifat umum, dilakukan oleh ramai salafussoleh dan tiada ada nas secara khusus melarang ziarah kubur pada hari raya.

Cuma, apa yang paling penting adalah tidak menzahirkan kesedihan dan menjaga adab-adab di kubur kerana hari raya adalah hari dituntut kita bergembira, bukannya bersedih.

Amalan kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi amalan lazim di hari raya? Dalam suasana sekarang, mungkin ada yang tidak mahu menerima tetamu atas alasan takut dijangkiti lagi-lagi dalam kalangan warga emas atau golongan komorbid. Apa pandangan Datuk dalam hal ini? Bagaimana kalau ada orang menyindir seolah-olah tidak merapatkan silaturahim?

Dalam hal ini bagi saya, ia merupakan satu budaya kita orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Dalam Islam sendiri tiada larangan malah aktiviti kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi dapat merapatkan tali persaudaraan.

Sebenarnya, kita boleh susun atur pelbagai cara untuk menerima kedatangan tetamu pada hari raya seperti menyediakan kawasan lebih luas dan sebagainya.

Selain itu, apa yang penting, kita pastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan diikuti sewaktu menerima tetamu dan mestilah sentiasa beringat dan berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Hidup dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini, ada segelintir pihak mengatakan budaya memberi duit raya terutamanya kepada kanak-kanak ketika lebaran diambil daripada masyarakat Cina dan agak membebankan tuan rumah. Adakah Datuk bersetuju dengan pendapat ini?

Hadis sahih riwayat Bukhari menunjukkan Nabi SAW bersama Bilal bin Rabah pada hari raya telah bertemu wanita-wanita dan menyarankan mereka bersedekah.

Ada yang bersedekah gelang, dan pelbagai barang kemas.

Bilal bin Rabah memungut harta tersebut untuk diagihkan kepada fakir-fakir miskin dan umat Islam.

Sebenarnya, amalan bersedekah ini baik dan perkara itu berdasarkan kepada niat seseorang.

Jadi pemberian duit raya itu sendiri adalah sedekah. Ia mengajar seseorang itu bermurah hati.

Bayangkan, kita bersedekah dan menyantuni fakir miskin serta anak yatim dapat menggembirakan mereka.

BERBELANJALAH untuk keperluan hari raya dengan berhemah dan jangan sampai berhutang. – GAMBAR HIASAN

Apakah kelebihan menunaikan puasa enam hari di bulan Syawal?

Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan puasa sunat enam hari.

Ia thabit daripada perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadis ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa enam hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun.

Ini berdasarkan hadis riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ia bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.

Setelah mengetahui akan pensyariatan puasa sunat enam Syawal beserta fadilatnya, timbul juga persoalan mengenai adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.

Berdasarkan pendapat-pendapat yang terdapat di dalam isu ini, kami katakan, isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa enam boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan.

Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada dalam bulan Syawal. Ia tidak menjadi masalah.

Ada sesetengah masyarakat yang ingin menonjolkan kemewahan pada hari raya sehingga sanggup berhutang. Apa nasihat Datuk kepada golongan ini?

Saya tidak syorkan seseorang itu berhutang dan elakkan daripada berhutang. Raikan hari raya sekadar yang kita mampu.

Kita diberi akal dan boleh memilih untuk sesuatu yang tidak membabitkan kewangan yang banyak dalam menzahirkan rasa kegembiraan pada hari raya.

Jika kita ambil sikap kemewahan sehingga sanggup berhutang, dari segi pelaksanaan pengurusan kewangan ia sesuatu yang kurang bijak dan tidak digalakkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN