fbpx
URUSAN jual beli kucing diharuskan oleh majoriti ulama.

Jumhur ulama benar jual beli kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APAKAH hukum menjalankan urusan jual beli kucing kerana saya pernah mendengar, ada pihak mengatakan ia tidak dibolehkan dalam Islam?

Jawapan:
Ulama fekah berkhilaf pendapat tentang hal ini.

Ada sejumlah ulama melarang, manakala majoriti ulama membenarkan menjual atau membeli kucing.

Ini seperti kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarah hadis larangan menjual kucing: “Adapun larangan (memakan) harga (jualan) kucing, maka itu atas andaian ia tidak bermanfaat atau larangan tanzih (makruh tidak haram) agar orang ramai terbiasa dengan memberi dan meminjamkan kucing serta bertolak ansur dengan hal itu seperti yang menjadi kebiasaan.

Sekiranya ia termasuk dalam yang memberikan manfaat, lalu menjualnya, maka sah jual beli dan harganya halal.

Inilah mazhab kita dan mazhab ulama keseluruhannya, kecuali apa yang Ibn Munzir nyatakan dan daripada Abu Hurairah, Tawus, Mujahid, Jabir bin Zaid iaitu tidak harus jual belinya (kucing). Mereka berhujah dengan hadis ini.

Jumhur menjawab bahawa larangan itu atas andaian yang disebutkan tadi. Inilah jawapan yang dipegang. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/233. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Di sini kita bincang secara ringkas dua pandangan tersebut:

Pertama, pendapat yang mengharamkan jual beli kucing. Ini adalah pendapat tokoh-tokoh seperti disebut oleh al-Imam al-Nawawi tadi.

Turut menyokong pendapat ini al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dengan menyatakan: “Inilah pendapat yang benar disebabkan sahnya hadis berkaitan hal ini dan tiada dalil lain yang menyanggahinya. Maka, wajib berpegang dengan pendapat ini,” (5/685. Beirut: Maktabah al-Manar al-Islamiyyah).

Alasan utama mereka ialah hadis berkaitan larangan tersebut yang mana Jabir bin Abdillah meriwayatkan Nabi s.a.w melarang hal itu. Daripada Abu Zubair, dia berkata: Aku bertanya Jabir mengenai harga anjing dan kucing liar.” Kata Jabir: “Nabi s.a.w melarang perkara itu,” (Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dll).

Kedua, pendapat yang membolehkan menjual beli kucing. Ini pendapat jumhur (majoriti) ulama seperti yang disebutkan tadi.

Dalam berpegang dengan pendapat ini, mereka (jumhur) berkhilaf pula dalam mengulas hadis larangan tersebut.

Ada berpendapat hadis itu daif. Ini apa yang disebut oleh al-Khattabi dan Ibn ‘Abd al-Barr. Namun, pendapat ini ditolak al-Imam al-Nawawi sendiri, dengan katanya: “Adapun apa yang al-Khattabi dan Abu ‘Amr bin ‘Abd al-Barr menyebutnya bahawa hadis larangan tersebut daif, (maka jawapannya) hadis itu bukan seperti yang mereka kata. Bahkan hadis itu sahih, riwayat Muslim dan selainnya,” (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/234. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Ada berpendapat, larangan tersebut jika kucing itu liar dan tidak dapat diserahkan semasa pembelian.

Ada pula berpendapat, hadis ini di awal Islam, kemudian dimansuhkan dan ada berpandangan, ia sekadar larangan makruh bukan haram.

Ada pula yang mengatakan, larangan itu jika kucing tersebut bukan milik pihak yang menjual, selain pandangan sebagai galakan untuk manusia bertolak ansur dalam pemberian kucing seperti menjadi adat kebiasaan.

Ada pula yang menyatakan seperti yang al-Nawawi sebut tadi jika ada manfaat, maka boleh dijual beli. Kucing yang ada manfaat seperti menghalau tikus, maka boleh dijual beli. Larangan hanya jika tiada manfaat.

Sesiapa yang berpegang kepada pendapat jumhur ulama, maka dibolehkan menjual dan membeli kucing, selagi ada nilai manfaat.

Jika sudah tiada nilai, maka haram. Pendapat yang mengharamkan secara mutlak pula berhujah dengan hadis yang jelas larangan tersebut. Cumanya, jumhur ulama berbeza dalam mentakwilkan sebab larangan.

Justeru, jika seseorang mengelakkan diri dari terlibat dengan jual beli kucing, maka itu lebih baik kerana selamat daripada pertikaian hukum itu. Apatah lagi jika harganya begitu mahal, maka ia mendekati unsur pembaziran.

Kita tahu agama kita melarang pembaziran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN