Seorang lelaki Indonesia ditemui mati dalam keadaan kaki berantai di pekarangan apartmen Eastern Court, Jelutong di George Town Jumaat lalu

Kematian lelaki kaki berantai besi diklasifikasi kes bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Polis mengklasifikasi semula kematian seorang lelaki dengan kaki kirinya dirantai di kawasan parkir sebuah apartmen di Jelutong di sini pada Jumaat lalu sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sebelum ini, kes itu disiasat sebagai mati mengejut, namun terdapat beberapa perkara yang mencurigakan seperti penggunaan rantai besi pada kaki si mati.

”Selain itu, tindakan rakan serumah si mati yang melarikan diri sejurus kejadian juga menjadi tanda tanya.

”Berdasarkan siasatan yang dijalankan, polis mengklasifikasikan semula kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, mayat seorang lelaki warga Indonesia dengan kaki kirinya diikat rantai besi ditemui selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah apartmen di Jelutong.

Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartmen tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, pihaknya menahan dua lelaki termasuk rakan serumah mangsa bagi membantu siasatan.

”Lelaki tempatan berusia 52 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Jalan Penang pada pukul 12.10 tengah malam tadi.

“Suspek kedua yang juga lelaki tempatan berusia 45 tahun diberkas pada pukul 1.30 pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Lintang Air Itam, di sini. Mereka direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau memberitahu, berdasarkan laporan bedah siasat, kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan parah di kepala dan badan akibat terjatuh dari tempat tinggi selain positif Covid-19.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN