fbpx
NURFARAHIN (kanan) dan Nur Shafa (kiri) dan sedang menyiapkan lukisan abstrak pada manisan torta yang dihasilkan.

Sentuhan kreatif gadis melukis atas makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AROMA harum daripada gula dan mentega memenuhi segenap ruang kediaman jenis kondominium milik Nurfarahin Omar, 29, yang ketika itu sibuk menyiapkan beberapa tempahan biskut raya dan juga manisan lain yang dihasilkannya.

Sambil menyambut ketibaan penulis bersama jurugambar, tangan Nurfarahin kemudian pantas mencapai sebatang berus lukisan halus lalu dicelupkan ke dalam cairan mentega koko yang siap diwarnakan dengan beberapa rona seperti merah, biru dan hijau.

Di hadapannya, terdapat 18 keping tart berinti pelbagai perisa dikenali sebagai torta yang lapisan atasnya sudah disapu coklat putih, sedia untuk diberi sentuhan kreatifnya.

Siapa sangka, bakat lukisan dan seni halus yang dimiliki Nurfarahin bukan terhad di atas kertas kanvas, malah gadis itu turut menterjemahkan bakatnya dengan melukis di atas manisan tart itu yang kemudiannya menjadi mata pencariannya.

Memang amat unik apa yang dipersembahkan itu sehingga turut tular di media sosial.

Nurfarahin yang mengasaskan kedai online yang menjual manisan bersama sahabat baiknya, Nur Shafa Suhaili, 28, mengakui mereka tidak menyangka sambutan diterima begitu menggalakkan.

“Nur Shafa merupakan individu yang menyuarakan hasrat untuk memulakan perniagaan ini memandangkan sebelum ini, kami berdua pernah bekerja sekali di bahagian penghasilan kek di sebuah hotel.

“Perancangan menubuhkan bisnes ini mengambil masa sekitar dua bulan sebelum kami berdua nekad berhenti kerja dan menubuhkan Oh My Pie secara rasmi pada Julai 2020,” kata Nurfarahin kepada K2.

SALAH satu lukisan menarik yang dihasilkan di atas manisan torta.

Menerusi Oh My Pie, dua gadis itu mempertaruhkan tart dengan pilihan inti pelbagai perisa seperti karamel, coklat Cadbury, krim kacang pistasio dan mentega kacang sebagai produk manisan utama.

Oleh kerana reka bentuk yang pelbagai serta boleh ditempah mengikut permintaan dan corak dikehendaki pelanggan, menu tersebut pantas tular dan menjadi manisan pilihan untuk diberikan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga sama ada sebagai hadiah sambutan hari lahir atau majlis pertunangan.

Lapisan cengkerang luar pada torta yang rangup dan licin menjadikan ia sesuai dijadikan ‘kanvas’ buat Nurfarahin menghasilkan lukisan.

Bercerita tentang proses melukis pada torta, Nurfarahin berkata, dia akan mencairkan lapisan mentega koko yang lazimnya digunakan dalam penghasilan coklat di pasaran dengan menggunakan periuk pemanas.

Sebelum mula melukis, Nurfarahin akan terlebih dahulu melapiskan permukaan torta yang siap dibakar dengan satu lapisan coklat putih yang bertindak sebagai kanvas.

“Melukis pada permukaan coklat putih polos tanpa warna lebih mudah bagi menghasilkan warna dan corak sama seperti yang dipesan pelanggan,” katanya.

Selepas lapisan coklat putih pada torta itu sejuk, Nurfarahin akan mula melukis corak pada lapisan atas torta sebelum ia disejukkan sekali lagi dan dibungkus di dalam kotak, sedia untuk dimakan.

“Bagi proses melukis dan mewarna, kami menggunakan serbuk pewarna boleh dimakan yang dicairkan dalam cairan mentega koko bagi menghasilkan warna yang dikehendaki.

“Selepas mentega koko itu cair, kami akan mencelupkan berus lukisan ke dalam warna itu untuk proses lukisan,” kata Nurfarahin.

NURFARAHIN menunjukkan bakatnya melukis di atas kepingan manisan torta.

Malah, dia juga mendedahkan berus lukisan yang digunakan pada torta adalah sama seperti berus lukisan yang digunakan pada lukisan biasa, cuma teknik menggunakannya sahaja yang berbeza.

Tambah Nurfarahin, dia lazimnya mengambil masa antara 20 hingga 30 minit untuk menyiapkan lukisan pada torta, bergantung kepada saiz dan tahap kesukarannya.

“Namun, bagi proses keseluruhan, iaitu dari mula mengadun dan membakar torta sehinggalah kepada kemasan terakhir selepas siap dilukis, ia mengambil masa hampir dua jam,” ujarnya.

Minat yang mendalam terhadap dunia perniagaan dan juga seni lukis menjadikan dua anak muda itu tidak pernah mengenal erti lelah dalam menghasilkan lukisan terbaik pada torta.

“Adakalanya, saya menghabiskan masa dari pagi sehingga tengah malam bagi menyiapkan tempahan pelanggan.

“Kerjaya ini dipanggil cake artist atau pelukis kek. Sebagai cake artist, biarpun letih, namun saya akui amat menghargai proses itu memandangkan ada antara lukisan yang dihasilkan itu saya pelajari ketika menyiapkan tempahan, sekali gus merupakan peluang kepada saya untuk mencabar kebolehan diri,” ujarnya merendah diri.

SERBUK-SERBUK pewarna yang digunakan.

Nur Shafa pula banyak terlibat dalam kerja-kerja pengurusan lain seperti mendapatkan stok barangan untuk penghasilan torta, misalnya mentega, gula dan juga bahan pewarna makanan, selain merupakan individu yang bertanggungjawab membalas pesanan dan permintaan pelanggan menerusi WhatsApp dan Instagram @oh_mypie.

“Saya lebih banyak terlibat dalam kerja-kerja pengurusan dalam Oh My Pie sementara Nurfarahin menguruskan hiasan pada torta.

“Kami juga ada menyediakan katalog rekaan yang mana kami sertakan sekali rona warna bagi lukisan untuk torta yang boleh dipilih pelanggan.

“Katalog itu juga akan ditukar secara berkala memandangkan kami sentiasa mencari rekaan terbaik untuk yang boleh diterjemahkan pada manisan,” kata Nur Shafa yang menyukai rekaan flora pada torta, manakala Nurfarahin pula amat menggemari rekaan berbentuk pemandangan untuk dilukis pada torta yang siap dibakar.

Torta yang dihasilkan dijual dalam tiga saiz iaitu sembilan keping, 18 keping dan juga 25 keping pada harga antara RM90 hingga RM280 mengikut jenis dan tahap kesukaran untuk menghasilkannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN