Saya terjaga waktu sahur dalam keadaan berjunub. Masa tidak mencukupi, manakah yang lebih afdal, mandi atau makan sahur?
Jawapan:
Dahulukan makan sahur sebelum habis waktunya kerana makan sahur sunnah yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.
Sabda baginda: “Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur,” (Riwayat Muslim). Sabda Nabi s.a.w juga: “Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sabda Nabi s.a.w lagi: “Bersahurlah walaupun seteguk air,” (Riwayat Ibn Hibban, hadis hasan). Adapun mandi junub, waktunya tidak dihadkan setakat sebelum masuk subuh, bahkan ia boleh dilewatkan sekalipun setelah masuk waktu subuh.
Ini berdasarkan hadis diriwayatkan oleh ‘Aishah dan Ummu Salamah bahawa Nabi s.a.w pada waktu pagi (subuh) dalam keadaan berjunub sedangkan Baginda berpuasa. “Bahawa Rasulullah s.a.w memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub disebabkan jimak, bukan kerana mimpi, namun baginda tetap berpuasa,” (Riwayat Muslim).
Maka, dalam waktu tidak mencukupi, saudara bersahur sewajarnya, kemudian mandi wajib untuk menunaikan solat Subuh.
Adapun jika saudara ada waktu mencukupi, yang terbaik adalah mandi wajib, kemudian menunaikan tahajjud dan beristighfar, kemudian bersahur.
Jika saudara bersahur, kemudian bersetubuh dengan isteri sebelum masuk waktu subuh, itu juga tidak mencacatkan puasa, sekalipun ketika waktu subuh saudara belum mandi wajib.
Namun, amalan sunnah ialah sahur dilewatkan sehingga hampir masuk waktu subuh.














