fbpx
MEREKA yang sakit tiada harapan sembuh, wajib baginya membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. – GAMBAR HIASAN

K2

Waris tak perlu ganti puasa orang meninggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ibu saya tidak berpuasa beberapa hari di Bulan Ramadan tahun lepas disebabkan sakit perut dan juga haid. Niat beliau untuk menggantikan selepas Ramadan. Dukacita beliau tidak sempat qada disebabkan faktor kesihatan. Kemudian beliau meninggal. Apakah wajib untuk kami anak-anak menggantikan puasanya?

Jawapan:
Ada beberapa perkara dalam hal ini berkaitan dengan hukum syarak. Puasa yang wajib ke atas mukallaf ialah puasa Ramadan, nazar atau kafarah.
Sesiapa yang mati dalam keadaan tidak menunaikan atau menyempurnakan kewajipan puasa-puasa ini, maka terdapat beberapa hukum berkaitan dengannya.

Perlu difahami, seseorang tidak boleh berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa keuzuran dibenarkan syarak.

Adapun orang sakit dan musafir mendapat kelonggaran untuk berbuka puasa Ramadan dengan syarat hendaklah dia ganti selepas itu.Sementara wanita yang haid atau nifas, tidak sah dan haram berpuasa.

Maka, sesiapa yang berbuka atas keuzuran atau kerana diharamkan berpuasa, maka tiada dosa baginya.
Hanya yang menjadi kewajipan ke atasnya menggantikannya bagi hari-hari yang dia berbuka. Ada dua golongan berkait dengan puasa ganti ini:

Pertama, sesiapa sakitnya dari awal tiada harapan sembuh atau tiada harapan membolehkan dia menggantikannya, maka wajib membayar fidyah iaitu memberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan.

Di Negeri Perlis umpamanya, kadar yang diputuskan sebanyak RM5. Di bandar besar, kadarnya pasti lebih.

Ini boleh ditunaikan dengan hidangan makanan atau bayaran tunai dengan kadarnya.

Kedua, sesiapa yang mampu menggantikan puasa, tetapi meninggal sebelum sempat berbuat demikian, terdapat dua keadaan:

Pertama, dia berusaha mengggantikannya selepas Ramadan, tetapi tidak sempat disebabkan keuzuran lain seperti musafir, sakit, haid, nifas, hamil, menyusu bayi dan seumpamanya.

Maka, golongan ini tidak mempunyai sebarang bebanan kecuaian. Dia berbuka atas keizinan dan tidak sempat menggantikan juga atas keuzuran.

Ertinya, kewajipan belum berlaku ke atasnya, maka tiada gantian atau qada yang wajib ke atasnya. Dengan itu, tidak wajib membayar fidyah daripada hartanya dan tidak juga disuruh keluarganya berpuasa untuknya.

Ini kerana Nabi s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mati dan atas tanggungannya puasa, maka keluarganya berpuasa untuknya,” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam erti kata lain, sesiapa yang mati tanpa kewajipan puasa, keluarganya tak perlu berpuasa baginya.

Orang yang tidak kesempatan untuk menggantikan disebabkan keuzuran dibenarkan syarak, bererti belum tiba kewajipan qada ke atasnya. Maka, tiada bebanan untuk dibayar sama ada fidyah ataupun puasa.

Inilah pendapat empat mazhab serta majoriti ulama. Ini seperti yang dinyatakan al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam al-Majmu’ dan al-Imam Ibn Qudamah (meninggal 620H) dalam al-Mughni.

Keadaan kedua, sesiapa tinggal puasa dan ada kesempatan untuk ganti, tetapi telah sengaja melewatkan sehingga meninggal dunia sebelum sempat menggantikannya. Bagi golongan ini, keluarganya boleh berpuasa untuknya.

Namun, ia bukan satu kewajiban ke atas keluarga, sebaliknya pilihan untuk mereka melakukannya.

Jika tidak dilakukan, diambil dari harta pusakanya untuk dibayar fidyah puasa.

Menurut al-Imam al-Nawawi, sekalipun ini merupakan qaul qadim (pendapat lama) al-Imam al-Syafii yang berbeza dengan pendapat baharu beliau, tetapi ia merupakan pendapat yang sahih di sisi muhaqqiq (penganalisis) Mazhab al-Syafii (lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/368. Beirut: Dar al-Fikr).

Maka, bagi keadaan yang kedua inilah, keluarga mempunyai pilihan untuk puasa atau mengambil dari harta pusaka beliau untuk fidyah.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa keluarga tidak wajib puasa ganti untuk si mati?

Jawapannya, jumhur (majoriti) ulama berpendapat, maksud hadis yang menyuruh keluarga menggantikan puasa si mati itu berkenaan adalah satu galakan bukan kewajipan.

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani:
Sabda baginda: “Keluarganya berpuasa untuknya,” merupakan khabar (berita) yang mengandungi maksud perintah iaitu ‘hendaklah keluarganya berpuasa untuknya’. Ia bukanlah satu kewajipan di sisi jumhur ulama.

Imam al-Haramain dan mereka yang mengikutnya berlebihan mendakwa ijmak (bahawa ia tidak wajib) berpuasa untuknya. Kenyataan ini (Imam al-Haramain) boleh dipertikaikan kerana sebahagian ulama Mazhab Zahiri mewajibkannya,” (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, 4/193. Beirut: Dar al-Ma’rifah).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN