PETALING JAYA – Keterujaan untuk membeli pelbagai jenis emas kini kembali apabila orang ramai mula menerima wang pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang dikreditkan secara berperingkat bermula semalam.
Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Emas Dan Permata Malaysia (FGJAM), Datuk Steven Siow Dek Kuen berkata, pihaknya menjangkakan orang ramai akan cenderung untuk membeli barang kemas, terutama dengan adanya program pengeluaran khas KWSP.
Katanya, situasi itu bakal mengulangi trend pembelian barang kemas seperti sebelum ini apabila orang ramai menyerbu kedai-kedai emas selepas masing-masing membuat pengeluaran menerusi program i-Sinar dan i-Citra.
Selain itu, ada juga dalam kalangan peminat barang kemas yang menggunakan wang lebihan hasil daripada moratorium untuk membuat pembelian bagi tujuan pelaburan jangka panjang.
“Keyakinan orang ramai untuk membeli emas bakal menyaksikan nilai jualan barang kemas di negara ini meningkat kepada RM1.95 bilion sebulan, berbanding RM1.5 bilion sebelum ini.
“Kita biasanya menjangkakan nilai jualan akan meningkat antara 15 hingga 20 peratus setiap kali sambutan perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri. Bagaimanapun tahun ini, ada pengeluaran khas KWSP.

“Berdasarkan faktor tambahan itu, kami anggarkan nilai jualan akan meningkat sehingga 30 peratus.
“Faktor pembukaan sempadan negara juga dijangka mempengaruhi kenaikan jualan barang kemas dan juga jongkong emas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac lalu mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 selepas mengkaji dan meneliti permintaan semua pihak.
Dianggarkan 5.3 juta pencarum mendapat manfaat daripada program ini membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM40.1 bilion.
Dalam pada itu, Dek Kuen berkata, trend pembelian barang kemas menerusi online juga dijangka berlaku dalam masa terdekat.
“Barang kemas dan jongkong emas mendapat permintaan tinggi sebagai satu bentuk pelaburan kerana ramai mula hilang kepercayaan pada mata wang,” jelasnya.
Tambah beliau, impak buruk pandemik Covid-19 dan konflik Rusia-Ukraine kepada ekonomi menyebabkan semakin ramai beralih kepada pelaburan dalam bentuk emas.
“Pelaburan emas adalah baik dan dalam tempoh dua bulan ini kami menerima banyak trade-in kerana mereka boleh mendapat harga yang tinggi.
“Kami juga melihat ramai golongan muda mula membeli jongkong emas sebagai pelaburan baharu,” katanya.
Beliau menambah, semua ahli FGJAM kini sedang menambah stok masing-masing sebagai persediaan menerima jumlah pelanggan yang ramai.
Sementara itu, seorang pengusaha kedai emas di Shah Alam dikenali sebagai Abdullah mengakui, permintaan terhadap emas semakin meningkat sejak awal Ramadan ini.
“Ramai pelanggan yang datang untuk melihat-lihat koleksi barang kemas di sini sementara menunggu mendapatkan wang daripada pengeluaran khas.
“Saya jangkakan akan berlaku pembelian besar-besaran terutamanya untuk dijadikan pelaburan selain barang hiasan pada musim Aidilfitri,” jelasnya.














