SESETENGAH orang di Kelantan mendapatkan etak sekadar hobi atau dimakan sendiri, sesetengah yang lain pula menjadikannya sebagai sumber pendapatan.
Ramai yang makan etak salai untuk dijadikan lauk dalam nasi kerabu. Rasanya lebih sedap berbanding dijadikan kudapan.
Tidak ramai yang mengetahui Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu, Kelantan merupakan lubuk etak melainkan penduduk setempat.
Etak mudah ditemui di sungai tersebut selepas musim bah kerana arus dari hilir sungai banyak membawa spesies itu bertebaran ke kawasan lain.
Mudah untuk mencari etak di sungai ini kerana kuantitinya banyak di situ.
—————————————————————————————————————————————————————————————————–
MEMBESAR sebagai budak kampung, sungai boleh diibaratkan sebagai tempat bermain buat Mahadi Abdullah, 54, dan rakan-rakannya ketika zaman kanak-kanak.
Bagi Mahadi yang berasal dari Kampung Pulau Semut, Kota Bharu di Negeri Cik Siti Wan Kembang, Sungai Pengkalan Datu yang mengalir menelusuri kawasan belakang rumah penduduk menjadi satu tempat yang banyak kenangan buatnya sehingga hari ini.
Sungai yang hanya terletak kira-kira 10 meter di belakang rumahnya di dalam kawasan Tunjong itu juga merupakan lubuk bagi Mahadi mencari spesies kerang yang sering dijadikan kudapan popular masyarakat di Kelantan iaitu etak.
Menurut Mahadi, kawasan sungai dengan lebar kira-kira lima meter itu menjadi habitat bagi etak yang dibawa arus Sungai Pengkalan Datu sebelum ia berada di dasar sungai tersebut.
Ujarnya, dia tidak malu untuk mengakui bahawa mencari etak merupakan hobinya jika mempunyai kelapangan masa meskipun sudah bergelar bapa kepada dua orang anak yang sudah besar.
“Mengutip atau mencari etak tidak susah apabila kita hanya memerlukan raga kipas angin terbuang yang digunakan untuk mengaut bahagian tanah di dasar sungai.
“Setiap kali kautan, pasti akan dapat sekurang-kurangnya seketul etak atau lebih 10 etak jika bernasib baik. Setiap etak yang diperoleh akan diasingkan di dalam guni atau baldi untuk dibawa pulang.
“Kebanyakan penduduk kampung ini termasuk saya tidak menjual etak-etak yang dikutip di sungai ini. Kami hanya suka-suka mencari etak di sini dan jika memperoleh banyak hasil, ia akan disalai atau dimasak pelbagai jenis lauk untuk dijadikan hidangan seisi keluarga,” katanya yang merupakan bekas penghulu Kampung Pulau Semut.

Menurut Mahadi, waktu terbaik untuk mencari etak adalah pada waktu petang bermula pukul 2 hingga 4.30 petang kerana air semakin surut, selain cuaca yang panas dan sesuai untuk berendam lama di dalam air.
Ujarnya, etak merupakan spesies yang dibawa arus sungai dan mudah mencarinya meskipun individu sekadar duduk setempat dan mengaut tanah di kawasan sama.
“Etak yang dikutip di sungai berbeza dengan etak yang dibeli daripada pemborong. Etak di sini cengkerangnya berwarna campuran hitam kekuningan, manakala etak yang banyak dijual di pasaran dibawa masuk dari Thailand pula warnanya hitam gelap.
“Cengkerang kebanyakan etak di sungai-sungai utama di Kelantan lebih nipis dan rapuh, manakala etak dari Siam pula kulitnya keras. Etak tempatan lebih mudah untuk dibuka bagi mendapatkan isinya.
“Pengalaman lama mencari etak ini menjadikan bukan sahaja saya, malah penduduk kampung ini tahu untuk membezakan jenis-jenis etak,” katanya kepada Panorama.
Cerita Mahadi, etak bersaiz besar banyak terdapat di kawasan tepi sungai kerana dibawa arus sebelum tersangkut pada kayu-kayu dan daun kering di situ.
Katanya, selain itu, etak juga mudah dicari di kawasan pasir yang jerlus kerana hidupan tersebut akan berada di dalam mendapan tanah.
Sementara itu, penduduk Kampung Pulau Semut, Mohd. Khazimi Ismail, 43, berkata, dia sering membawa lima daripada enam orang anaknya
bermandi-manda di Sungai Pengkalan Datu sambil mencari etak.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman tinggal di situ beberapa tahun lalu, etak mudah ditemui di sungai tersebut selepas musim bah kerana arus dari hilir sungai banyak membawa spesies itu bertebaran ke kawasan lain.
Ujarnya yang merupakan seorang penjawat awam, kebiasaannya, dia dan anak-anak akan memperoleh tangkapan etak sebanyak empat hingga lima kilogram sekiranya mengutip dalam tempoh satu jam.
“Sebenarnya mudah untuk mencari etak di sungai ini kerana kuantitinya banyak di sini. Cuma, kita akan cepat penat kerana perlu banyak kali menangguk tanah untuk mendapatkan etak.
“Jumlah yang diperoleh setiap kali menangguk pula tidak banyak seperti menjala ikan. Jadi, kita perlu melakukan proses sama banyak kali.
“Bagi saya, ia merupakan satu aktiviti riadah untuk anak-anak di kawasan sungai. Sekurang-kurangnya saya dapat mengajar anak-anak mengenai kaedah mencari spesies kerang yang hanya terdapat di beberapa negeri termasuk Kelantan,” katanya.
Menurut Mohd. Khazimi, Sungai Pengkalan Datu ketika ini masih bersih daripada pencemaran dan disebabkan itu juga dia membenarkan anak-anak untuk mandi selain mencari etak di situ.
Tambahnya, kebiasaannya, dia akan meminta isteri, Nani Rohayu Sahak, 41, untuk memasak hidangan etak masak lemak bagi semua hasil tangkapan yang diperoleh dari sungai itu.
“Isi etak ini rasanya sedikit masin dan ia juga bergantung kepada jenis masakan yang dibuat. Sekiranya etak itu disalai, rasa masin akan lebih kuat dan jika dimasak lemak atau hidangan lain, isinya akan berubah kepada rasa masakan tersebut,” katanya.

TIDAK ramai yang tahu Sungai Pengkalan Datu di Kota Bharu ini menjadi lubuk etak.
Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung itu, Mohd. Shawal Sahak, 38, berkata, tidak ramai yang mengetahui Sungai Pengkalan Datu merupakan lubuk etak melainkan penduduk setempat.
Menurutnya, penduduk di kampung itu juga mengutip etak sebagai hobi atau makan sendiri dan bukan untuk dijual atau menjalankan perniagaan.
“Disebabkan itu, tidak ramai yang tahu kawasan ini banyak etak.
“Ramai yang mengutip etak di sini merupakan penduduk kampung ini sahaja,” katanya.














