Hishammuddin (kanan) bersama Affendi Buang ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan, hari ini.

Dua kemudahan pengeluaran baharu LTAT bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) hari ini mengumumkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersetuju memperkenalkan dua kemudahan pengeluaran baharu untuk pencarum berkuatkuasa esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, anggota serta veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh melaksanakan perkara tersebut melalui pengeluaran haji dan pengeluaran pendidikan.

“Mereka yang telah menerima surat pengesahan tawaran mengerjakan haji boleh mengeluarkan wang caruman dengan jumlah maksimum RM10,000 bagi membiayai kos menunaikan haji serta sudah mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun.

“Pengeluaran pendidikan pula bagi pencarum yang mengikuti peringkat pengajian tinggi di universiti awam tempatan dan boleh mengeluarkan wang caruman dengan jumlah maksimum RM3,200 bagi bayaran balik yuran pendaftaran semester satu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan, di sini hari ini bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose Mohd. Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany serta Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.

Menurut Hishammuddin, kedua-dua pengeluaran tabung pencen terbabit dibenarkan satu kali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan anggota ATM sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan skim persaraan LTAT.

Sementara itu, beliau memaklumkan Mindef sedang giat merangka perancangan baharu bagi menambah baik aspek pendidikan anak-anak anggota ATM.

Jelasnya, perancangan itu termasuk penambahbaikan infrastruktur di 38 buah sekolah dalam kem ATM, pusat tuisyen, biasiswa dan beberapa inisiatif lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN