PETALING JAYA – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan seorang lelaki yang merupakan orang kena tahan (OKT) berkaitan kes dadah meninggal dunia dalam tahanan polis semalam.
Pengarahnya, Datuk Azri Ahmad berkata, pada 12 April lalu OKT yang berumur 45 tahun itu telah dituduh dibawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagaimanapun OKT berkenaan tidak mengaku salah dan tiada penjamin.
“OKT tersebut kemudiannya ditumpangkan di lokap Balai Polis Kajang, Selangor sebelum dihantar ke penjara Satelit Beranang bagi reman penjara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada pukul 10.32 pagi semalam, anggota bertugas di lokap dimaklumkan OKT sama disyaki telah mengalami sawan dan bertindak menghubungi pihak hospital.
“Pada pukul 10.45 pagi, pihak hospital telah hadir membuat pemeriksaan terhadap OKT dan membawa OKT tersebut ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.
“Semasa dalam perjalanan ke hospital, Penolong Pegawai Perubatan mengesahkan OKT terbabit telah meninggal dunia, bagaimanapun punca kematian masih belum diketahui,” ujarnya.
Jelas beliau, pihaknya sudah mengarahkan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) untuk menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE
















