fbpx
SEBORGA terletak di atas bukit yang menjanjikan pemandangan memukau .

Kampung mimpi nak jadi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK 1960-an, Seborga yang terletak di wilayah Riviera Itali, terletak di barat laut Itali memperjuangkan hak untuk menjadi sebuah negara berdaulat kerana ‘pemerintahnya’ menganggap kawasan itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada negara berkenaan secara sah jika menurut catatan sejarah lampau.

Ia kini diperintah oleh Puteri Nina Daniela Menegatto mengambil alih pemerintahan daripada Marcelo Menegatto yang merupakan bekas suaminya sejak November 2019.

Puteri Nina merupakan pemerintah wanita pertama yang memegang jawatan tersebut di Seborga dan juga merupakan Menteri Luar Negeri secara rasmi.
———————————————————————————————————————————————————————————————

DI atas bukit indah di wilayah Riviera Itali, terletaknya sebuah perkampungan permai dengan impian besar, mahu menjadi sebuah negara yang merdeka.

Seborga merupakan sebuah kampung yang diperintah oleh seorang ketua ‘negara’.

Malah, ia juga sudah pun mempunyai dan memperkenalkan lagu kebangsaan, pasport, setem, bendera, mata wang serta sistem monarkinya yang tersendiri.

Ia berhasrat agar semua itu satu hari nanti akan mendapat pengiktirafan undang-undang terhadap kedaulatannya, sesuatu yang sudah diimpikan Seborga sejak 1960-an.

Ketika ini, Seborga hanyalah sebuah perkampungan indah terletak di barat laut Itali berhampiran Perancis yang mempunyai sekitar 300 penduduk dengan keluasan tanah meliputi kira-kira 12.9 kilo­meter persegi.

Jalan menuju ke Seborga mempunyai lintasan sempadan tidak rasmi, lengkap de­ngan pondok ke­selamatan dicat dengan warna bendera rasmi yang kadangkala dika­wal oleh pengawal sempadannya.

Kedudukannya yang strategik menjadikan Seborga dikelilingi pemandangan memukau dan dari situ, orang ramai boleh melihat Monaco yang me­rupakan negara kecil paling popular di dunia, sekali gus menjadi inspirasi buat Seborga yang mencari kemerdekaannya sejak dahulu.


PUTERI NINA (tengah) pada satu majlis rasmi yang diadakan di Seborga baru-baru ini.

“Ketika ini, peguam sedang berusaha ke arah itu (kemerdekaan). Oleh sebab itu, saya dilantik sebagai ketua ‘negara’ Seborga,” demikian kata Puteri Nina Daniela Menegatto.

Di Seborga, sistem monarkinya tidak diwarisi dan pilihan raya akan diadakan setiap tujuh tahun.

Puteri Nina merupakan pemerintah wanita pertama yang memegang jawatan tersebut di Seborga dan juga merupakan Menteri Luar Negeri secara rasmi.

Dilahirkan di Jerman, Puteri Nina sebelum ini menetap di Monaco dan dilantik sebagai ketua ‘negara’ itu pada 10 November 2019.

Beliau mengambil alih pemerintahan daripada Marcelo Menegatto yang merupakan bekas suaminya.

Puteri Nina mengakui, pada mulanya, beliau menganggap usaha Seborga yang cuba menuntut kemerdekaan itu sebagai satu jenaka, namun selepas membaca perjalanan sejarah mengenainya, beliau mendapati bahawa perkara tersebut adalah benar dan serius.

Tuntutan itu bermula pada awal 1960-an apabila bekas pemerintah pertama Seborga, Giorgio Carbone yang mengendalikan koperasi petani bunga tempatan, meneliti sejarah bandar itu dan mendapati ada sesuatu yang tidak kena pada­nya.

Menurut sejarah silam, Seborga telah disumbangkan kepada kumpulan bia­rawan gereja Benedictine pada tahun 954, sehinggalah mereka kemudian menjualnya pada tahun 1729 kepada Kerajaan Sardinia.

Kerajaan itu kemudian menjadi sebahagian daripada Itali.

ANTARA bangunan ikonik yang terdapat di Seborga dan menjadi tarikan pelancong sejak dahulu.

Namun menurut Carbone, sehingga kini, tiada rekod sejarah menunjukkan penjualan itu benar-benar terjadi.

Ini bermakna jelasnya, Seborga tidak pernah menjadi sebahagian daripada Itali secara sah.

Sementara itu, pakar kenegaraan kecil dari Itali, Graziano Graziani berkata, adalah sukar untuk difikirkan bahawa hampir 300 tahun kemudian, ketiadaan dokumentasi adalah asas yang realistik untuk membina pengiktirafan undang-undang.

“Bagaimanapun, masyarakat yang mempercayai kemerdekaan Seborga mendasarkan tuntutannya dengan tepat,” katanya.
Mahkamah Perlembagaan Itali dan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah sebelum ini telah menolak tawaran Seborga untuk merdeka, namun Puteri Nina tidak pernah berputus asa.

“Ia jelas bukan satu kes yang mudah dan perkara itu ternyata tidak akan berlaku hari ini atau esok.

“Namun, tiada apa yang mustahil. Sebagai contoh, lihat sahaja Brexit,” ujar Puteri Nina.
Beliau turut mengakui bahawa kisah Seborga itu merupakan sesuatu yang bagus dalam usaha ‘pemasaran’ kampung berkenaan dari segi tarikan pelancongan.

Malah, beliau turut menekankan bahawa Seborga tidak melakukan apa-apa kesalahan undang-undang dengan memperkenalkan pasport sendiri kerana ia hanyalah untuk tujuan suka-suka.

Mata wangnya iaitu Luigino juga di­terima di kedai-kedai di sekitar Seborga, namun pada dasarnya, ia lebih kepada cenderahati.

PENGAWAL sempadan Seborga menjalankan tugas mereka dengan dedikasi.

Bagaimanapun sebelum ini, Carbone yang memerintah ‘negara’ itu sehingga kematiannya pada 2009 benar-benar mahu menjadikan Seborga sebagai sebuah negara berdaulat.

“Pada 1960-an, beliau menutup sempadan dan tidak membenarkan orang ramai memasuki Seborga, enggan membayar cukai kepada kerajaan Itali serta hanya memandu kenderaan dengan nombor plat khas Seborga,” jelas Puteri Nina lagi.

Tindakan itu telah menjadikan Seborga terkenal, sekali gus membantu mempromosikan tanaman bunga-bu­ngaan dan buah zaitun yang merupakan asas ekono­minya.

Jelas Puteri Nina, biarpun dianggap keterlaluan, Carbone cukup diingati dan perjuangannya untuk Seborga dianggap menjadikan mendiang layak untuk mendapat monumennya sendiri di situ.

Sebelum terkesan akibat pandemik Covid-19, Seborga me­nerima kunjungan pelancong luar biarpun tidak sepopular dan mempunyai suasana persekitaran seperti yang terdapat di Monaco.

“Seborga bertentangan dengan Monaco dalam banyak cara.


MATA Wang yang digunakan oleh penduduk Seborga dikenali sebagai Luigino.

“Ia sangat sederhana dan tenang dengan penduduknya sangat berorientasikan alam semula jadi dan mesra,” kata seorang warga Seborga yang berasal dari Estonia, Kaidi-Katariin Knox.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN