Makanan yang disumbangkan pelbagai pihak dibiarkan begitu sahaja selepas gelandangan tidak lagi mampu menghabiskannya.

Banyak makanan hanya diletak di tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Badan bukan kerajaan (NGO) atau orang perseorangan hanya dibenarkan meng­hulurkan sumbangan makanan kepada gelandangan di tempat yang telah ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah ber­kata, pihaknya telah menyediakan beberapa lokasi yang dilengkapi dengan kemudahan sewajarnya.

“DBKL sejak tahun lalu telah tetapkan tempat tertentu sahaja yang dibenarkan agih makanan kepada gelandangan termasuk pada bulan Ramadan. Kita akan tengok balik jika ada yang masih beri bantuan makanan secara ad hoc pada Ramadan kali ini.

“Kita nasihatkan hantar ke tempat yang DBKL sediakan kerana ada orang akan bantu uruskan supaya agihan dibuat dengan baik. Kita boleh aturkan dan agihkan. Hendak agih sendiri di situ pun boleh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, jika sumbangan dihulurkan di tempat yang dika­wal selia oleh kakitangan DBKL, mereka boleh memberi nasihat terutama kuantiti makanan yang sewajarnya dihulurkan.

Katanya, langkah itu bertujuan mengelakkan pembaziran kerana DBKL mempunyai statistik gelandangan di ibu negara.

“Kami percaya pihak yang menghantar bantuan makanan ini bertujuan baik untuk membuat amal jariah dan mendapatkan pahala sepanjang bulan Ramadan.

“Bagaimanapun, jangan diberikan secara tidak teratur kerana gelandangan akan dapat terlalu banyak makanan dan apabila tidak habis dimakan, mereka akan letak di tepi jalan,” ujarnya.

Pada 10 April tahun lalu, DBKL memaklumkan hanya tiga lokasi dibenarkan untuk mengagihkan makanan kepada golongan miskin serta gelandangan iaitu di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Jalan Chow Kit.

Aktiviti sumbangan dan pe­ngagihan makanan yang dijalankan tanpa kawal selia DBKL boleh menimbulkan masalah lambakan sumbangan yang menyumbang kepada pembaziran dan kekotoran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN