KOTA KINABALU – Penduduk sekitar bandar Tawau yang berbuka puasa lebih awal ekoran mengikut azan di salah sebuah stesen radio tempatan semalam diwajibkan menggantikan puasa masing-masing selepas berakhirnya bulan Ramadan.
Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar berkata, berdasarkan hujah dan huraian membabitkan perkara berkenaan, pihaknya memaklumkan waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari mengikut nas syarak dan bukannya berlandaskan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya.
“Secara dasarnya, puasa mereka yang tersalah berbuka puasa awal kerana mengikut azan di radio mengikut sisi syarak
adalah dikira terbatal.
“Oleh itu, wajib bagi mereka yang berkenaan menggantikan puasa selepas berakhirnya bulan Ramadan. Usaha pihak radio yang mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka dilihat suatu pendekatan murni yang sangat baik.
“Bagaimanapun, pihak radio perlulah lebih teliti dan cermat dalam perkara seumpama ini bagi mengelak daripada
berulangnya perbuatan mengumandangkan azan awal daripada waktunya pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Bungsu menyatakan umat Islam juga hendaklah sentiasa cermat dan berhati-hati berkaitan waktu
berbuka puasa.
Menurut beliau, orang awam disarankan agar merujuk kepada takwim berbuka puasa yang sudah dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti demi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
Terdahulu, seorang penyampai radio tempatan di Tawau memohon maaf selepas tersilap menyiarkan azan Maghrib empat minit lebih awal sebelum waktu sepatutnya semalam.
Mohd Safwan Junit dalam hantarannya dilaman sosial Facebook mengaku tersilap menyiarkan azan sebanyak dua kali iaitu pada pukul 6.16 dan 6.20 petang. -KOSMO! ONLINE














