PETALING JAYA – Seorang pesakit Covid-19 sebuah hospital kerajaan menggesa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membaiki fasiliti hospital yang didakwa dalam keadaan kotor serta uzur buat kegunaan pesakit yang menerima rawatan.
Menerusi satu hantaran Alia Nordin di Facebook berkata, dia adalah pesakit Covid-19 bersama anaknya yang baru berusia dua bulan terpaksa dikuarantin di sebuah hospital kerajaan di wad bersalin lama hospital itu.
Katanya, dia berasa seperti mahu larikan diri daripada hospital itu dan sangat marah kerana ekoran fasiliti hospital itu yang teruk dan uzur.
“Saya sangat sedih dan rasa ingin lari apabila melihat keadaan penempatan kuarantin ibu dan bayi ini. Tekad di hati memang ingin lari sahaja tetapi nanti jadi kes polis pulapesakit covid lari hospital, 8 jam yang sangat ‘horror’, hendak pergi toilet pun takut, hanya waktu Subuh sahaja baru berani.
“Saya berasa sangat marah kerana terasa seperti kami rakyat ini tiada nilai pada pemimpin-pemimpin yang diberi kuasa untuk menjaga hak kami. Beginikah layanan yang patut diberikan kepada ibu-ibu yang mengandungkan, melahirkan dan menyusukan anak? Yang mungkin jadi bakal pemimpin masa hadapan,” tulisnya di Facebook.
Tambahnya, dia hanya meminta kerajaan agar menyediakan fasiliti hospital yang terbaik bagi digunakan pesakit-pesakit.
“Saya tidak minta layanan kelas pertama, saya tidak kisah dikuarantin di hospital kerajaan tetapi cukuplah kiranya pihak kementerian menyemak dahulu fasiliti yang diberikan adalah dalam keadaan tersedia dan diyakini bersih untuk didiami oleh kami (ibu dan anak) sepanjang dalam tempoh kuarantin.,” ujarnya.
Jelasnya, antara fasiliti yang tidak disediakan seperti tiada sinki bersih sesuai untuk mencuci perlatan menyusu dan mengepam.
“Selain itu tiada sinki bersih dan sesuai untuk saya mandikan bayi, peti ais disediakan amat ragu-ragu kegunaanya.
“Malah tiada ruang menyusu khas untuk ibu menyusukan bayi atau mengepam susu, semua perlu dibat secara terbuka di hadapan rakan pesakit Covid-19 lain,” katanya.
Tambahnya, dia berharap agar Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengambil maklum akan isu ini.
“Saya harap, YB turun sendiri dan lihat, dan fikir, sudikah atau tergamakkah kiranya YB minta isteri atau adik beradik atau saudara mara YB untuk kuarantin di dalam keadaan begini.
“Saya masih di sini, bersedia membawa YB melihat sendiri kawasan ini sekiranya sudi. – KOSMO! ONLINE














