fbpx
RIBUAN pekerja Malaysia di Singapura memasuki negara ini sebaik pintu sempadan negara di Tambak Johor, Johor Bahru dibuka pada pukul 12 tengah malam kelmarin.

‘Kepulangan sarat emosi ke pangkuan keluarga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kepula­ngan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura awal pagi semalam sarat dengan emosi apabila di­sambut keluarga tercinta di laluan keluar dari Tambak Johor, di sini setelah berjauhan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.

Tinjauan yang dilakukan di Jalan Lingkaran Dalam, Bukit Senyum mendapati ada ahli keluarga yang berpelukan mesra meraikan detik kegembiraan itu dan tidak kurang juga yang menitiskan air mata kegembiraan.

Pembukaan sempadan itu juga menjadi lebih manis buat pengembara beragama Islam apabila dapat meraikan kedatangan Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarga tercinta setelah dua tahun memendam rindu.

Kegembiraan itu sukar diungkap oleh pekerja sektor pembinaan di Singapura, Fajrul Rizal Abu Bakar, 28, apabila terlalu te­ruja pulang ke pangkuan keluarga setelah dua tahun tidak pulang ke kampung halaman.

“Sukar untuk saya gambarkan perasan ketika ini sebab terlalu gembira. Mana tidaknya, saya seperti ribuan rakyat Malaysia lain tidak bersedia ketika pengumuman lockdown, masih be­kerja ketika itu.

“Tempoh penutupan sempadan selama dua minggu itu kemudian menjadi sebulan dan semakin berlarutan sehingga memberi kesan emosi buat kami semua. Mana tidak­nya, ada di antara kami hanya sehelai sepinggang dan tiada arah tuju.

“Walaupun emosi dan mental kami teruji, namun demi memikirkan tentang keluarga di sini, kami terus bertahan dan kuatkan semangat. Oleh itu, kepula­ngan pada malam ini amat besar maknanya buat kami semua,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

SEORANG pengembara yang juga pekerja Malaysia, R. Suresh (kiri) memeluk anaknya selepas berjalan kaki melalui Tambak Johor dari Singapura awal pagi semalam. – RAJA JAAFAR ALI

Sementara itu, pengembara pertama Malaysia yang me­langkah keluar melalui pintu sempadan Johor-Singapura, R. Suresh, 49, menzahirkan rasa syukur dapat bertemu keluarga.

Katanya, dia sudah lama me­nunggu detik itu dan tidak sabar untuk kembali kepada kehidupan sebelum ini apabila boleh berulang-alik bekerja di Singapura tanpa berjauhan dengan keluarga.

Jelasnya, kos sara hidup yang tinggi sepanjang dua tahun di Kota Singa itu menyebabkan dia tidak sabar untuk pulang ke tanah air untuk kembali ke pangkuan anak-anak.

“Kehidupan kita di sana sangat mencabar antaranya kos sara hidup yang tinggi dengan ber­belanja SGD1,000 (RM3,105) untuk sewa dan keperluan lain.

“Perkara pertama yang saya ingin lakukan ialah meluangkan masa dengan anak-anak. Sudah lama tidak bertemu dan mahu bawa mereka jalan-jalan,” kata pegawai sumber manusia di Singapura itu.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Tiong Chi Sing, 40, berkata, dia sudah lama membuat persiapan untuk pulang ke Johor selepas sekian lama meninggalkan keluarga.

Dia yang juga seorang jurutera turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Singapura yang meletakkan kepentingan rakyat dalam membuat keputusan pembukaan sempadan itu.

“Balik ini saya mahu berehat seketika dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga, ini memang sesuatu yang saya nantikan. Saya sangat lega sempadan dibuka dan kami boleh teruskan kehidupan se­perti biasa.

“Keputusan pembukaan sempadan sangat menggembirakan semua termasuk rakyat di Singapura, harapnya perkara ini akan kekal seperti ini,” katanya.

Kumpulan pertama yang menyeberangi Tambak Johor itu merupakan kelompok pejalan kaki yang tiba melalui kawasan itu sekitar pukul 12.10 tengah malam kelmarin.

Seorang wanita, Rosnah Din, 62, ketika ditemui sebaik menyeberangi Tambak Johor berkata, dia rindu segalanya tentang Malaysia seperti suasananya, keenakan makanan serta tempat pelancongan menarik di sini.

Katanya, kebenaran merentas sempadan dengan prosedur operasi standard (SOP) longgar sudah lama dinantikan untuk bertemu keluarga di Bukit Pasir, Muar.

“Kali terakhir bertemu adik beradik serta keluarga di Muar adalah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 2019.

“Apabila kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, ada tiga kematian ahli keluarga di Singapura yang tak dapat dihadiri oleh mereka di Muar, kami berasa sedikit terkilan.

“Insya-Allah, kami akan pulang ke Singapura selepas melepaskan rindu pada ahli keluarga di Muar selain menyambut awal Ramadan,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN