KULIM – Seorang duda anak satu buntu apabila kehilangan punca pendapatan kerana masih belum dapat kerja selepas menghidapi pelbagai jenis penyakit angkara dijangkiti Covid-19 tahun lalu.
Nazari Din, 44, memberitahu, selepas dijangkiti Covid-19, dia mula mendapat kencing manis, jantung, lesu, penat, sesak nafas dan masalah tulang belakang.
Katanya, kakinya juga tidak begitu kuat untuk melangkah kerana masih terasa kebas jika duduk atau berdiri terlalu lama selain terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.
“Kini saya hilang punca pendapatan kerana tidak mampu untuk bekerja dan hanya duduk di bilik. Sesekali ada rakan yang membawa saya keluar,” katanya ketika ditemui di Taman Kucai di sini baru-baru ini.
Menurut Nazari, dia dijangkiti Covid-19 tahap lima ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di sini.
Tambahnya, dia dimasukkan ke Hospital Kulim sebelum dipindahkan ke pusat kuarantin Al-Farabi Jalan Stadium dan seterusnya ke Hospital Jitra.
“Selepas 41 hari berada di beberapa buah hospital, saya disahkan pulih daripada Covid-19 tetapi tahap kesihatan saya pula merosot dan tidak seperti dahulu,” katanya.
Ujar Nazari, dia kini menyewa di sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah kedai dan sudah beberapa bulan tidak membayar sewa.
“Mujur tuan rumah ini memahami situasi dan membantu ketika saya susah,” katanya.
Menurut Nazari, dia ada menerima wang zakat sebanyak RM300 yang digunakan untuk menjelaskan bil dan pemeriksaan di hospital selain mendapat bantuan rakan-rakan Facebook.
“Saya sering berbual dan menghiburkan rakan-rakan dengan bernyanyi melalui siaran langsung di Facebook,” katanya.
Bagaimanapun, sejak diserang Covid-19, dia tidak lagi mampu bercakap banyak kerana mudah penat dan jarang bersiaran langsung di Facebook.
Tambahnya, dia kini hanya mampu berdoa agar kesihatannya kembali pulih seperti sedia kala.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulur bantuan melalui akaun Maybank Nazari Din 152031688974 menghubunginya di talian 016-740 5743. -KOSMO! ONLINE