Mohon penjelasan berkaitan syarat-syarat yang wajib dipenuhi untuk menerima pengislaman kanak-kanak. Apakah perlu ditunggu usia 18 tahun?
Jawapan:
Pada asasnya, sesiapa sahaja yang baligh dan berakal yang mengucap dua kalimah syahadah dalam keadaan faham dan yakin maksudnya, maka dia menjadi Muslim.
Dia dihitung sebagai seorang Muslim yang mendapat kelebihan di sisi masyarakat Islam.
Pada masa sama, dia juga mempunyai tanggungjawab seperti Muslim yang lain.
Syarat penting untuk kesahihan Islam seseorang adalah tidak dipaksa menganut Islam.
Sesiapa yang dipaksa, maka Islamnya tidak sah. Keimanan tidak boleh dipaksa kerana ia keyakinan yang ada dalam dada seseorang.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 256: (maksudnya) “Tiada paksaan dalam (menganut) agama (Islam).”
Adapun kanak-kanak sudah mumaiyiz, jumhur (majoriti ulama) menganggap sah keislamannya. Mumaiyiz bermaksud sudah berupaya memahami dan membezakan.Kebiasaannya, pada usia tujuh tahun dan ke atas.
Jumhur tidak mensyaratkan baligh untuk kesahihan Islam. Mereka hanya mensyaratkan mumaiyiz dan sebahagian menyebut berumur 10 tahun. Ia berbeza dengan Imam al-Syafii dan al-Imam Zaufar yang mensyaratkan baligh.
Disebutkan dalam al-Mughni: “Kanak-kanak jika berusia 10 tahun, faham Islam lalu menganut Islam, maka dia adalah Muslim. Kesimpulannya, kanak-kanak sah Islamnya secara umum.
Inilah pendapat Abu Hanifah, dua sahabatnya (al-Qadi Abu Yusuf dan Muhammad Hasan al-Syaibani), Ishak, Ibn Abi Syaibah dan Abu Ayyub.
Berkata (al-Imam) al-Syafii dan (al-Imam) Zufar: “Tidak sah Islamnya sehingga dia baligh,” (Ibn Qudamah, al-Mughni, 9/13. Kaherah: Maktabah al-Qahirah).
Antara alasan jumhur bahawa syarat mumaiyiz memadai ialah hadis Nabi s.a.w: “Perintahlah anak-anak kamu dengan solat pada umur tujuh tahun. Pukullah mereka (untuk didikan) jika mereka tidak menunaikan solat pada usia 10 tahun,” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan lain-lain. Hadis Hasan).
Ungkapan 10 tahun dalam hadis ini juga menyebabkan sebahagian fuqaha meletakkan usia tersebut syarat sah.
Demikian juga antara alasan jumhur ulama ialah terdapat kanak-kanak yang menganut Islam pada zaman Nabi s.a.w seperti ‘Ali bin Abi Talib.
Adapun al-Imam al-Syafii (meninggal 204H) menyatakan baligh menjadi syarat kesahihan Islam seseorang, tidak memadai sekadar mumaiyiz.
Tanda telah baligh itu sama ada keluar mani atau tumbuh bulu kemaluan, haid (bagi perempuan) atau berusia 15 tahun.
Jika salah satu tanda ini ada, maka dikira sudah baligh. Baligh tidak menunggu usia 18 tahun seperti difahami sesetengah pihak.
Antara alasan Mazhab al-Syafii ialah hadis:“Diangkat qalam (catatan kesalahan) dari tiga golongan: kanak-kanak sehingga baligh, orang yang lena sehingga jaga dan orang hilang akal sehingga sembuh,” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Hadis sahih).
Pun begitu, Mazhab al-Syafii tidak membenarkan kanak-kanak yang mengucap itu diserahkan kepada orang bukan Islam.
Ertinya, sekalipun mereka tidak mengesahkan keislaman kanak-kanak itu, tetapi mereka menunggu sehingga dia baligh untuk disahkan keislamannya.
Dalam tempoh itu, kepercayaan sebelum baligh dipelihara agar tidak digugat.
Ini disebutkan oleh al-Imam al-Syafii sendiri dalam al-Umm: “Jika datang kepada kita seorang isteri yang belum baligh daripada kalangan mereka (bukan muslim), jika dia berakal dan mengisytihar (menganut) Islam, maka kita halang dia diserahkan kepada suaminya,” (5/269. Beirut: Ihya al-Turath al-‘Arabi).
Dalam al-Muhazzab, kitab fekah Mazhab Syafii disebutkan: “Jika datang seorang kanak-kanak perempuan dan mengisytihar (menganut) Islam, maka dia tidak dikembalikan kepada mereka (orang kafir), sekalipun tidak dihukum (sah) Islamnya. Ini kerana, kita mengharapkan Islamnya (semasa baligh). Jika dia dikembalikan kepada mereka, mereka akan menipunya dan menyebabkan dia meninggalkan Islam,” (al-Syirazi, al-Muhazzab, 3/326. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Demikianlah kitab-kitab lain dalam Mazhab al-Syafii.
Kesimpulannya, syarat untuk seorang kanak-kanak menjadi Muslim adalah mengucap dua kalimah syahadah dengan pilihan sendiri tanpa paksaan, selain mumaiyiz (di sisi majoriti ulama) iaitu dalam keadaan berakal serta mampu memahami.
Sebahagian meletakkan usia 10 tahun. Adapun Mazhab al-Syafii mensyaratkan baligh untuk kesahihan Islam seorang kanak-kanak.
Pun begitu, sekalipun Mazhab al-Syafii tidak mengesahkan Islam kanak-kanak belum baligh, mereka tetap tidak dibenar menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada pihak kafir yang akan memaksa kanak-kanak itu mengubah apa yang dia percaya.















