fbpx
KEMPEN Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan sejak tahun lalu terus mendapat sokongan ramai.

Tanam 100 juta pokok solusi mega ‘baiki’ iklim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBICARA tentang pokok, aset alam itu merupakan anugerah Tuhan dan mempunyai fungsinya yang tersendiri kepada dunia ini.

Pokok sangat penting kerana berperanan membekalkan oksigen segar yang diperlukan oleh manusia. Tumbuhan berkayu ini juga penting dalam menjamin kelestarian persekitaran.

Pun begitu, kini banyak pokok yang ditebang apabila kawasan-kawasan diteroka untuk tujuan pembangunan.

Di Malaysia, masalah seperti itu juga terjadi sehingga pihak kerajaan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah melaksanakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia yang dilancarkan sejak 5 Januari tahun lalu.

Kempen ini mendapat sokongan banyak pihak termasuklah Yayasan Hijau Malaysia (YHM) iaitu agensi di bawah KeTSA yang bertanggungjawab menjayakan agenda nasional tersebut.

Terdapat lima agensi kerajaan di bawah KeTSA yang melaksanakan kempen tersebut iaitu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sebagai peneraju kempen penanaman, Jabatan Hutan Sarawak, Jabatan Perhutanan Sabah, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan YHM.

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok merupakan salah satu inisiatif Program Penghijauan Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Kempen tersebut menyasarkan penanaman 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun iaitu tahun 2021 hingga 2025 di seluruh negara.

SETIAP negeri di Malaysia menunjukkan penglibatan yang serius dalam menjayakan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang bertujuan ‘menghijaukan’ negara ini.

Hingga kini, kempen yang menyasarkan 20 juta pokok setahun itu nampaknya berada di landasan yang baik apabila lebih 26 juta pokok direkodkan telah berjaya ditanam.

Mengulas mengenai inisiatif mega itu, Ketua Pegawai Eksekutif YHM, Amin Abdullah berkata, kempen diterajui KeTSA ini bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai pentingnya kawasan litupan hijau dan hutan untuk kesejahteraan serta kualiti hidup, selain usaha untuk menambah baik ekosistem dan biodiversiti negara kita.

“Selain itu, kempen ini juga bertujuan memupuk semangat cintakan alam semula jadi melalui penanaman pelbagai jenis pokok kepada segenap lapisan masyarakat serta menyokong komitmen mengekalkan litupan kawasan berhutan di Malaysia,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambahnya, program itu juga selaras dengan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok-pokok dan kawasan berhutan seperti yang telah diumumkan semasa

Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992.

Dalam kempen menanam 100 juta pokok ini, definisi pokok yang dimaksudkan adalah meliputi semua jenis pokok iaitu tumbuhan berkayu mempunyai akar, batang, dahan dan daun.

Tatkala bencana alam sering melanda negara mutakhir ini termasuk perubahan pola bencana misalnya kejadian banjir pada bulan Februari di Pantai Timur, manakala Lembah Klang dilanda banjir buruk, seruan penanaman pokok ini seharusnya semakin bergema.

Amin menegaskan, pokok atau sumber hutan kepada manusia sejagat amat penting. Penanaman tumbuhan hijau bukan sahaja membekalkan oksigen kepada kehidupan di muka bumi ini, malah berfungsi mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida

“Justeru, penjagaan sumber-sumber alam seperti pokok ini amat penting untuk membendung pelbagai masalah alam sekitar seterusnya memastikan generasi akan datang turut dapat menikmati manfaatnya secara berterusan.

“Kita dapat melihat Malaysia juga tidak terkecuali daripada mengalami perubahan iklim akibat pemanasan global, sebagai contoh musim kemarau yang melampau, hujan luar biasa, banjir dan taburan hujan yang tidak menentu,” bicaranya.

AMALAN menanam pokok perlu disemarakkan.

Usaha kerajaan bagi melaksanakan kempen itu nyata amat bertepatan khasnya bagi membendung isu perubahan iklim serta mengurangkan carbon footprint Malaysia.

Kini, menjadi peranan buat kita selaku rakyat Malaysia bekerjasama dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan proses pemanasan global dapat diperlahankan termasuklah menerusi program penanaman pokok di bawah kempen ini.

Pelaksanaan kempen memerlukan penglibatan masyarakat di semua peringkat bagi memastikan kempen ini mencapai objektifnya.

Amin berkata, sebagai salah satu agensi di bawah KeTSA, YHM menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi, syarikat korporat, badan bukan kerajaan, institusi pendidikan, sekolah dan orang awam dalam menjayakan kempen.

Menurutnya, YHM berperanan untuk mendapatkan sumbangan dana kewangan daripada syarikat swasta dan badan korporat bagi melaksanakan program penanaman pokok melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan mengikut keperluan syarikat tersebut.

“Syarikat korporat dan individu yang berminat untuk menyertai kempen ini boleh menyalurkan dana mereka melalui YHM.

“Program yang dijalankan di bawah YHM adalah dikecualikan cukai untuk inisiatif yang dianjurkan di bawah Kategori Pembangunan Teknologi Hijau dan Kategori Pemuliharaan Alam Sekitar sebagai projek kepentingan nasional sesuai dengan kuasa Menteri Kewangan di bawah seksyen 44 (11C), Akta Cukai Pendapatan 1967,” ulasnya.

Tambahnya, dengan kelulusan ini, syarikat swasta dan korporat yang menyumbang dana kewangan melalui YHM bagi kempen ini adalah layak untuk menuntut potongan cukai pendapatan sebanyak 10 peratus dari jumlah pendapatan agregat tahunan bagi syarikat dan 7 peratus daripada jumlah pendapatan bagi individu.

AMIN

YHM turut mengalu-alukan syarikat korporat dan swasta untuk memberi sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk produk atau baucar diskaun pembelian.

Bentuk sumbangan ini boleh dijadikan sebagai insentif untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti penanaman pokok dan seterusnya merekodkan aktiviti mereka melalui aplikasi mudah alih Penghijauan

Malaysia atau laman web Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di www.100jutapokok.gov.my.

Orang ramai akan dapat mengumpul mata daripada aktiviti penanaman pokok dan menebus mata ini melalui aplikasi mudah alih dan laman sesawang berkenaan. Aplikasi mudah alih tersebut boleh dimuat naik melalui Google Playstore, App Store dan App Gallery.

Jelas Amin, setakat ini, YHM menerima maklum balas yang baik daripada pelbagai pihak terutama syarikat-syarikat swasta dan badan korporat yang menyalurkan dana untuk aktiviti penanaman pokok dalam menyokong pelaksanaan kempen ini.

Beberapa siri program penanaman pokok juga dilaksanakan pada tahun lalu dan tahun ini dengan kerjasama syarikat swasta, agensi kerajaan dan lain-lain antaranya WESTPORTS, Runsteur, Mitsubishi, Telekom Malaysia,

Permodalan Nasional Berhad, AmBank, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Malaysian Timber Council (MTC).

Menerusi kerjasama dari segi penajaan ini, YHM yakin ia mampu memberi peluang dan menarik lebih banyak penglibatan masyarakat terutama syarikat korporat untuk terlibat dalam kempen berkenaan sekali gus menyokong usaha kerajaan mencapai penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.

Amin berkata, bagi memantau pelaksanaan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok secara sistematik, KeTSA telah membangunkan satu aplikasi mudah alih iaitu Penghijauan Malaysia.

“Selain itu, satu laman web khas yang boleh dicapai melalui pautan www.100jutapokok.gov.my juga telah dibangunkan.

“Melalui aplikasi mudah alih dan laman web ini, pengguna boleh memuat naik maklumat berkaitan pokok-pokok yang telah ditanam dan menyemak statistik terkini penanaman pokok oleh pengguna di seluruh negara,” terangnya.

Amin berharap lebih banyak syarikat korporat dan individu akan tampil untuk menyumbang dana dalam kempen berkenaan agar usaha penghijauan Malaysia ini mendapat sokongan dan penglibatan meluas dalam kalangan masyarakat di seluruh negara.

Menurutnya, YHM yakin sasaran kempen untuk menanam 100 juta pokok menjelang tahun 2025 dapat dicapai sepenuhnya dengan adanya sokongan pelbagai pihak dan lebih penting adalah manfaatnya kelak dapat terus dinikmati generasi masa hadapan yang akan mewarisi keindahan planet ini.

“Diharapkan masyarakat Malaysia pada umumnya juga dapat memanfaatkan program dan aktiviti menanaman pokok ini dengan menjadikan ia hobi yang sihat, seterusnya dapat menjadi sumber nutrien, rangsangan mental yang positif dan melestarikan alam sekitar.

“Kerjasama daripada semua pihak sangat penting untuk menjayakan kempen ini dalam usaha memelihara dan memulihara hutan serta alam sekitar secara keseluruhannya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN