PETALING JAYA – Setiap manusia diberikan ujian berbeza-beza termasuklah kehidupan pasangan suami isteri yang mengharapkan cahaya mata sebagai pelengkap hubungan mereka.
Menerusi perkongsian di media sosial, seorang pengguna bernama Aina Rusli menceritakan kisah kehilangan anak syurga buat kali ketiga selepas keguguran selama dua kali sebelum ini.
“1 Mac 2022 adalah tarikh keramat buat ibu (Aina), sepatutnya Ayyash (anak) dilahirkan. Namun, Allah adalah sebaik-baik perancang.
“Pada usia kandungan 29 minggu Ayyash terpaksa dilahirkan kerana ibu mengalami komplikasi dari usia kandungan 21 minggu lagi. Kuat anak ibu, Ayyash,” katanya.
Menurut Aina, ketika usia kandungannya memasuki 29 minggu, dia mengalami tanda-tanda seperti hendak bersalin dan perlu menjalani pembedahan kerana kedudukan bayinya songsang.
Ketika pembedahan dijalankan, dia ditidurkan kerana keadaannya lemah dan doktor memaklumkan anaknya juga lemah walaupun telah diberikan bantuan oksigen.
“Masa ini, doktor dah bagitau babah (suami) keadaan Ayyash yang sangat lemah walaupun dah diberikan 100 peratus oksigen. Babah azankan Ayyash dalam keadaan yang teramat sedih sebab babah tahu ibu nak sangat anak lepas dua kali keguguran.
“Masa babah hubungi ibu, babah tak cerita keadaan Ayyash. Babah cuma cakap yang rupa Ayyash macam ibu,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook baru-baru ini.
Tambah Aina, pada keesokan harinya, keadaan anaknya semakin kritikal sehingga doktor melakukan proses bantuan pernafasan (CPR).
“Semua doktor datang buat CPR, ibu tengok keadaan Ayyash yang kecil tapi ditekan-tekan sebab nak bagi bantuan, terus luluh hati ibu.
“Bila babah sampai ibu terus cakap biarlah anak kita pergi dgn tenang dan minta doktor hentikan mesin oksigen dan benarkan ibu dan babah tengok Ayyash pergi,” luahnya.
Dalam pada itu, dia dan suami reda akan pemergian anak syurga mereka dan mendoakan agar dapat bertemu semula di syurga nanti.
“Anak syurga ibu dan babah. Semoga awak tenang di syurga bersama abang abang awak ya sayang. Tunggu ibu dan babah di pintu syurga,” katanya lagi.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai turut berasa sedih dan simpati terhadap pasangan tersebut dan ada juga pengguna yang berkongsi pengalaman mereka apabila turut kehilangan anak sewaktu masih kecil.
“Takziah puan dan suami, semoga Allah menggantikan kebahagiaan yang lain. Saya sebelum ini pun pernah alami situasi sama, anak saya hanya bertahan selama sebulan lebih dan kemudian meninggal dunia disebabkan mempunyai masalah jantung,” kata Azrina Saad.
“Sedih sangat apabila penantian kita membawa kandungan sehingga matang, dan akhirnya hanya sekejap dapat menatap wajah anak kecil, moga akak dan suami terus kuat dan saya doakan moga akak akan diberikan zuriat pada masa akan datang,” komen Nur Syazana Syafiqah. – KOSMO! ONLINE














