fbpx
Hoong Fong (tengah) menunjukkan mesin bitcoin yang dirampas pada sidang akhbar hari ini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

Tiga premis bitcoin diserbu polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Kegiatan sekumpulan individu menjadikan tiga premis di pusat komersial di Bandar Puteri dan Bayu Perdana sebagai lubuk perlombongan bitcoin sejak dua bulan lalu tumpas, baru-baru ini.

Dalam serbuan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) selama dua hari bermula kelmarin turut menahan 12 suspek lelaki yang masing-masing berperanan sebagai penjaga premis dan juruteknik berusia 18 hingga 43 tahun.

Turut dirampas adalah pelbagai peralatan termasuk 155 unit mesin bitcoin, 37 unit power supply dan masing-masing tiga unit monitor dan komputer serta modem.
dianggarkan bernilai RM65,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan siasatan setiap premis di tingkat atas pusat komersial itu disewa pada kadar RM1,500 sebulan.

Katanya, mereka kemudiannya telah mengubahsuai dalam memasang mesin bitcoin dan kelengkapan komputer bagi aktiviti perlombongan mata wang kripto Bitcoin.

“Pihak TNB yang menjalankan pemeriksaan mengesahkan berlaku penyambungan bekalan elektrik secara haram dan menganggarkan kerugian sebanyak RM60,000.

“Hasil siasatan mendapati aktiviti ketiga-tiga premis telah beroperasi selama dua bulan dan dipercayai mengaut keuntungan sehingga RM150,000,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, siasatan turut mendapati kesemua suspek adalah melibatkan rangkaian berlainan dengan juruteknik bertindak bagi memperbaiki mesin bitcoin yang rosak.

Ketika ditanya pemberita sama ada penyambungan boleh dikesan awal oleh pembaca meter, Hoong Foong mengesahkannya namun siasatan lanjut masih dilakukan sama wujud unsur subahat antara pembaca meter dan kumpulan suspek.

“Tujuh daripada suspek mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripadanya mempunyai empat rekod mengikut Seksyen 420, 395, 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959.

“Kesemua suspek direman selama dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pihaknya telah menjalankan lima serbuan dan menahan seorang suspek serta merampas sebanyak 131 unit server bitcoin sepanjang dua bulan ini.

“Bagi sepanjang tahun lalu pula, berjaya enam suspek dalam 11 serbuan dengan rampasan sebanyak 696 unit server bitcoin dan peralatan yang digunakan untuk perlombongan mata wang kripto.

“Anggaran nilai rampasan adalah sebanyak RM300,000,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN