PETALING JAYA – Terengganu berisiko untuk mengalami kejadian aliran puing lebih kerap sekiranya negeri berkenaan menerima taburan hujan yang banyak dan dalam tempoh lama.
Timbalan Pengarah Geosains, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Terengganu, Mazlan Mohamad Zain berkata, aliran puing yang berlaku di kawasan Jenagor, Hulu Terengganu minggu lalu adalah kejadian pertama di negeri berkenaan.
Menurutnya, aliran puing di Terengganu adalah suatu perkara baharu dan berdasarkan pemantauan ia berpotensi untuk berlaku lagi selepas ini.
“Hujan lebat, limpahan air dari kawasan-kawasan tanah tinggi berpotensi mengakibatkan terjadinya aliran puing,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Untuk rekod, daerah Hulu Terengganu menerima taburan hujan tertinggi iaitu 181 millimeter pada 24 Februari lalu.
Mengulas lanjut, jelas Mazlan, pihaknya telah mengenal pasti beberapa cerun runtuh khususnya di Kawasan Jenagor berhampiran empangan Kenyir disebabkan taburan hujan yang banyak.
“Apabila tanah bergerak dan runtuh, limpahan air sungai dan hujan seterusnya akan bercampur mengakibatkan banjir puing,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu klip video menunjukkan keadaan Tasik Kenyir yang dipenuhi dengan kayu balak dan tanah dipercayai kesan daripada aliran puing akibat hujan lebat.
Situasi itu menimbulkan polemik dalam kalangan orang ramai dan memohon pihak berkuasa menyiasat segera kejadian tersebut yang dikatakan mencemari keindahan Tasik Kenyir.
Kosmo! pada 26 Februari lalu melaporkan gelombang banjir kelima kembali melanda Terengganu berikutan hujan lebat berterusan sejak tiga hari.














