KAHERAH – Bekas pemain antarabangsa Mesir, Mohamed Aboutrika mengkritik keputusan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) yang bersikap tidak adil dengan hanya menghukum Rusia sedangkan Israel masih ‘bebas’ di peringkat antarabangsa ketika ini.
Sebagai rekod, beberapa badan sukan dunia telah mengharamkan mana-mana atlet menggunakan bendera atau lagu kebangsaan Rusia untuk mengharungi kejohanan, manakala FIFA telah menyingkirkan negara itu daripada aksi kelayakan Piala Dunia 2022.
Ia sebagai langkah solidariti susulan tindakan ganas Rusia yang kini berada dalam konflik peperangan dengan negara Ukraine sejak minggu lalu.
Kata Aboutrika, apa yang dilakukan oleh FIFA itu adalah keputusan yang positif, tetapi situasi yang sama perlu dikenakan kepada Israel yang telah menyerang Palestin sejak dahulu.
“FIFA sangat tidak adil dengan hanya menghukum negara Rusia, manakala Israel masih lagi bebas sedangkan mereka telah membunuh rakyat Palestin berdekad lamanya.
“Sudah tentu ia menjadi persoalan kenapa mereka enggan berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, pandangan yang sama turut disuarakan oleh kapten pasukan Erzurumspor yang beraksi Liga Turki, Aykut Demir selepas dikritik hebat susulan enggan menyertai kempen solidariti pasukan pada aksi liga minggu lalu.
“Kenapa saya perlu menyokong kempen tanpa peperangan di Ukraine sedangkan situasi yang sama sudah berlaku berdekad lamanya di Asia Barat.
“Ia bukanlah langkah yang bijak, tetapi pada masa sama, saya tetap terkilan apabila rakyat yang tidak berdosa dibunuh dengan kejam akibat peperangan,” katanya. – AGENSI














