PETALING JAYA – Ketagihan golongan muda kepada gula-gula peransang nafsu yang dijual secara terbuka di kedai-kedai runcit mahupun secara online kini semakin membimbangkan.
Hasil tinjauan Kosmo! di beberapa buah kedai runcit di Lembah Klang mendapati, gula-gula yang cukup popular itu dijual pada harga serendah RM20.
Kosmo! juga sempat meninjau penjualan ubat berkenaan secara online dengan tawaran pelbagai jenama.
Seorang pembeli yang mahu dikenali sebagai Fikri, 29, berkata, gula-gula perangsang nafsu itu sangat mudah didapati dengan harga murah, sekali gus menyebabkan dia mula ketagih untuk berhubungan bersama isteri.
“Pergi sahaja di kedai-kedai runcit pasti ada dijual, malah ada sebahagian meletakkannya di kaunter, harga pun murah.
“Pada mulanya saya hanya ingin mencuba, tetapi ketagihan bermula apabila produk itu mampu memberi tenaga,” dakwanya baru-baru ini.
Dakwanya lagi, antara faktor dia gemar menggunakan gula-gula berkenaan adalah kerana kebaikan yang terdapat pada produk itu.
“Jangan hanya lihat pada rangsangan nafsu itu, saya rasa ada banyak kebaikan yang terdapat pada gula-gula itu seperti, kebaikan tenaga batin, pelancaran aliran darah dan mengelakkan mati pucuk,” ujarnya.
Sementara itu, menurut pembeli yang dikenali sebagai Saiful, 27, dia berasakan gula-gula tersebut adalah sebagai bahan ‘suplemen’ buat kesihatan dirinya.
“Berbekalkan RM20, saya boleh beli gula-gula ini di kedai runcit atau secara dalam talian.
“Saya rasa penggunaan gula-gula ini tidak memudaratkan, namun boleh menjadi satu tabiat buruk jika terlalu bergantung kepada produk ini untuk melakukan hubungan intim,” katanya.
Jelasnya, apa yang merisaukannya apabila barang itu mudah didapati tanpa kawalan.
“Memang merisaukan apabila barang ini sangat mudah didapati dan ia boleh menular sehingga menjadi satu masalah sosial kepada anak-anak muda yang masih belum berkahwin.
“Asalnya mahu mencuba, tetapi ia akan jadi satu ketagihan yang tidak sihat,” jelasnya.














