BUKAN senang menjadi seorang pendakwah bebas atau ustaz selebriti terutamanya di zaman media sosial yang penuh dengan tipu-daya dan netizen suka mengadu-domba dan tidak bertanggungjawab.
Setiap tindak-tanduk mereka diperhatikan masyarakat memandangkan pendakwah tersebut menjadi sumber rujukan dalam satu-satu permasalahan umat.
Bagi mengupas berhubung perkara itu, kolum Wawancara Kosmo! Ahad minggu ini membawakan penceramah bebas yang tersohor di negara ini, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.
Beliau antara lain berkata, pendapat netizen yang mengatakan program realiti untuk melahirkan ustaz selebriti menjadi sumber pekerjaan menjanjikan kemewahan adalah kurang tepat kerana baginya, acara realiti artis lebih mewah jika dibandingkan dengan program melibatkan ustaz.
——————————————————————————————————————————————————-
FIGURA ini mula dikenali sekitar tahun 2011 selepas dakwah-dakwah yang disampaikannya menerusi rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don yang disiarkan di sebuah stesen televisyen popular tanah air mencuri tumpuan masyarakat.
Kaedah penyampaian yang santai, penuh berhemah dengan tutur kata tersusun serta sarat dengan mesej itu berjaya memberi impak positif kepada umum. Bahkan beliau berjaya menjawab segala persoalan dan kemusykilan yang diuatarakan masyarakat dengan baik.
Sejak itu, namanya mula disebut-sebut dan diangkat sebagai salah seorang pendakwah bebas popular di negara ini sehingga sering diundang ke majlis ilmu, mahupun menjadi jemputan stesen televisyen.
Bersih daripada publisiti, namanya masih lagi mendapat tempat dan menjadi rujukan masyarakat hari ini biarpun telah berbelas tahun berkecimpung dalam bidang tersebut.
Menjawab persoalan berkaitan isu semasa, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid di pejabatnya baru-baru ini.
Kosmo! Ahad: Apakah pandangan ustaz tentang dakwaan sesetengah pihak tentang terdapat penceramah bebas atau ustaz selebriti meletakkan harga tinggi untuk muncul dalam satu-satu program keagamaan. Tidakkah ini memberi gambaran negatif masyarakat terhadap golongan agamawan?
USTAZ DON: Pertama sekali, rakyat Malaysia yang membaca ini perlu membuat keputusan, faham dan jawab terlebih dahulu adakah menjadi ustaz merupakan satu kerjaya atau sukarelawan.
Sebagai rakyat Malaysia, kita kena putuskan apakah pandangan kita kerana itu sangat penting.
Saya tidak boleh meletakkan orang lain supaya sependapat dengan saya, tetapi saya boleh berikan jalur pemikiran supaya mereka berfikir seperti saya.
Jika kita menganggap itu kerja sukarela, jadi siapa yang memantau sukarelawan ini memandangkan jika benar ia merupakan satu kerja sukarela, pastinya ada badan bukan kerajaan (NGO), badan berkanun dan sebagainya yang memantau mereka.
Usah dikaitkan dengan keikhlasan kerana semua bidang kerjaya sama ada sukarelawan mahupun tidak menuntut keikhlasan. Jika tidak, sudah tentu apa yang dilakukan tidak akan menjadi.
Apabila disebut tentang kerjaya, di situ akan ada ‘tangga gaji’ dan ‘gred’ yang mana orang lama mesti mempunyai tangga gaji, orang berkelulusan pula mesti ada gred.
Kedua-dua itu yang menentukan bayaran seseorang dan jika individu bersetuju sesuatu pekerjaan perlu mengikut tangga gaji dan gred, begitu jugalah dengan para asatizah. Tetapi pada masa sama, ikhlas tetap ada.
Kita tidak boleh menafikan perkara itu, kerana ia seolah-olah menafikan hak orang lain mendapatkan gaji.
Jika benar dakwah itu merupakan sukarelawan, mengapa golongan ustaz saja yang perlu berdakwah, sedangkan Islam bukan agama anutan seorang dan dakwah pula merupakan tanggung jawab semua umat nabi Muhammad S.A.W.
Meletakkan kerja agama sebagai satu kerja sukarela ini bukan agenda Islam. Islam berkata keikhlasan timbul setara dengan gaji dibayar.
Seperti mana kita menghalalkan sesuatu yang haram itu berdosa, mengharamkan sesuatu yang halal itu juga berdosa.
Betulkah pendapat yang mengatakan program realiti untuk melahirkan ustaz selebriti menjadi sumber pekerjaan menjanjikan kemewahan, apatah lagi yang sudah ada nama dan dikenali ramai? Sejauh mana kebenarannya?
Mewah adalah satu perkara yang boleh diukur. Jika dibandingkan dengan program realiti asatizah dengan artis, yang mana satu lebih mewah?
Jadi, siapa yang mendakwa itu mereka salah, memandangkan dalam pendidikan sendiri, kita dituntut untuk membuat perbezaan menggunakan kelas yang sama.
Jika mahu melakukan satu hipotesis, gunalah benda yang sama.
Justeru, saya menasihati netizen untuk ambil ilmu yang dia belajar dan amalkan. Jika mahu membuat perbandingan, gunalah kelas yang sama, kayu ukur yang sama.
Banyak pihak meminta agar segolongan ustaz yang suka bergaduh sesama sendiri di media sosial semata-mata untuk mempertahankan pendapatnya sahaja benar agar segera menghentikan perkara itu. Bagaimana cara untuk mendamaikan mereka agar meraikan pendapat orang lain?
Allah sebut dengan Nabi Adam, kamu wahai Adam dan anak cucu keturunan kamu, sesetengah kamu akan bermusuh dengan setengah yang lain. Jadi, apabila Allah dah janji begitu, mustahil kalau kita tak bergaduh.
Perselisihan sesama manusia merupakan satu perkara sunnatullah.
Bahkan, ini bukan kali pertama di dalam dunia berlaku perselisihan antara ilmuan agama, kerana ia juga berlaku antara para Sahabat ketika Nabi masih hidup.
Biasanya pergaduhan berkisar tentang isu bidaah, siapa lebih benar dalam mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W dan sebagainya. Jika mereka masih ‘bercakaran’ dengan isu yang tidak pernah selesai ini, menyebabkan masyarakat menjadi keliru. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?
Faham merupakan satu perkara yang sangat besar dalam agama. Pernah terjadi satu peristiwa yang mana Nabi Muhammad S.A.W pernah berkata kepada dua kumpulan yang pergi mengembara. Berkatalah Nabi, jangan solat Asar selagi tidak tiba ke destinasi.
Apabila masuk waktu, satu kumpulan segera menunaikan solat Asar, manakala satu lagi meneruskan perjalanan dan menunaikan solat sebaik tiba ke destinasi. Di sini, tiada yang salah sebaliknya kedua-duanya betul.
Faham perkara yang lain daripada satu sama lain adalah biasa, cuma untuk mencari titik persefahaman itulah yang menjadi sunnah Nabi supaya kita tak bergaduh.
Perselisihan berlaku sejak zaman Nabi, tetapi menjadi semakin teruk pada hari ini disebabkan ketidakbijaksanaan orang-orang dalam bidang agama itu sendiri.
Ditambah pula dengan sesuatu pandangan yang digembar-gemburkan para penyokong atau pengikut asatizah tertentu.
Kita faham, itu merupakan salah satu cara membela guru ketika diperkotak-katikkan, tetapi susunlah tutur bahasa, elakkan provokasi dan tidak menggunakan bahasa yang merendah-rendahkan.
Sepertimana tidak boleh melagakan antara satu sama lain, menggunakan perkataan yang jahat juga tidak digalakkan dalam Islam.

Terdapat juga dakwaan, ustaz selebriti tidak menjaga siqah atau imej Islam yang dibawa dan terlibat dengan perkara tidak sepatutnya, seolah-olah gelaran yang dibawa hanya untuk mencari duniawi. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?
Dari segi buku, memang perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana seorang asatizah menjadi pegangan kepada masyarakat. Tetapi memandangkan kita berada di dunia akhir zaman, golongan asatizah juga tidak terlepas daripada fitnah itu.
Sebab itulah, Nabi mengajar kita untuk membaca surah al-Kahfi untuk mengelakkan diri difitnah daripada akhir zaman. Siqah dalam bahasa arab membawa maksud kepercayaan. Bila hilang siqah, apa yang diperkatakan sukar mendapat kepercayaan.
Perkara ini wujud bukan di zaman kita sahaja, malah era-era sebelumnya. Buktinya, dalam penyampaian ilmu hadis ada beberapa hadis yang sepatutnya dalam kategori soheh dikurangkan martabat hanya kerana ada beberapa penyampai hadis dianggap tidak siqah. Cuma kadar ketidaksiqahan itu berbeza.
Saya menasihati diri dan para asatizah supaya menjaga apa yang boleh dan memperbanyakkan doa perkara-perkara di luar kawalan supaya Allah mengampunkan dosa dan berikan kebaikan.
Kepada masyarakat pula, sepertimana ustaz kena ada siqah mereka juga perlu ada fiqah dan jangan takluk siwah kepada asatizah semata-mata kerana dengan siqah, barulah hidup aman dan tenteram di negara ini.
Ada mendakwa, tidak perlu mengikut tarikat kerana ia lebih banyak membawa kepada penyelewengan berbanding kebaikan untuk mendekatkan diri kepada Allah, selain tidak mengikut sunnah Nabi S.A.W. Adakah benar tarikat banyak memberi keburukan kebaikan kepada umat Islam?
Tarikat bermaksud jalan iaitu jalan untuk beri Allah sayang, reda dan pandang kita.
Soalan ini yang layak menjawab 100 peratus adalah para ulama dan mufti, terutamanya Negeri Sembilan kerana itulah satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai enakmen undang-undang tentang tarikat.
Jadi, untuk masyarakat yang mempunyai isu berkaitan tarikat, rujuklah Negeri Sembilan dan fatwanya kerana negeri ini lebih terkehadapan dalam bab ini dan dipantau. Negeri-negeri lain tiada.
Bagaimana untuk mengetahui sesuatu ajaran tarikat itu menyeleweng daripada ajaran Islam atau tidak kerana ada yang berkata, banyak tarikat membawa kepada ‘penyembahan’ kubur dan bertawasul dengan orang yang telah meninggal dunia?
Bagi mereka yang mahu ikut tarikat, perlulah berguru dengan betul. Antara tarikat yang dikenali di bumi Melayu ialah Naqsyabandiyah, Syadziliyah, Sanusiyahi dan Syattariyah.
Sekurang-kurangnya ambillah yang masyhur dan semua orang tahu. Di negara kita, ramai guru yang masyhur seperti pondok-pondok di sebelah Kelantan yang banyak menggunakan tarikat Syattariyah. Sumber rujukan itu perlu pada orang dan guru yang betul.
Satu-satu tarikat itu tidak akan lari daripada al-Quran dan hadis, ijmak dan qias, jalan untuk mencari reda Allah.

BAGI Ustaz Don, keikhlasan dalam kerja-kerja agama timbul setara dengan gaji dibayar.
Apa hukum bertawasul (berdoa kepada Allah menggunakan perantara) terutama orang soleh yang telah meninggal dunia kerana banyak orang kata, ia tidak dibolehkan dalam Islam?
Tawasul dalam bahasa Arab membawa maksud menyambung kita dengan Allah, jalan mencari reda Allah. Perbuatan tawasul jika orang buat secara tidak betul, dia akan terkeluar daripada reda Allah. Mufti Brunei ada menulisi satu kitab mengenai isu ini.
Tawasul mesti dilakukan dengan betul, dekatkan diri dengan Allah menggunakan cara yang betul. Ia lebih kepada sighah, lenggok bahasa. Contoh mudah seperti qasidah.
Sebenarnya, semua orang bertawasul hari-hari menerusi kalimah syahadah dalam bacaan solat dan selawat. Nabi telah mengajar kita bertawasul, tetapi kita tidak perasan. Bacaan itu ada dalam solat dan wajib dibaca. Jika tidak, solat tidak sah.
Kesimpulannya, siapa yang kata tawasul tidak wujud dalam Islam perlu dipersoalkan bagaimana sembahyang dengan bacaan tahiyat akhirnya, kerana kita diajar bertawasul dalam tahiyat akhir.
Apa cabaran terbesar pernah diterima ustaz sepanjang bergelar penceramah yang bertanggungjawab dalam menyampaikan kebaikan dan perintah agama kepada orang ramai?
Cabaran terbesar menjadi seorang pendakwah ialah keluarga kerana saya takut mereka tidak menjadi seperti yang saya kata dan ia menjadi fitnah kepada saya.
Cabarannya saya perlu pastikan anak dan isteri selari dengan apa yang dibawa oleh agama, kawan-kawan sekeliling, rakan sepejabat semua kena selari dengan apa yang dibawa.
Itulah cabaran paling besar bagi saya dan ia tidak akan habis sampai bila-bila.














