KOTA BHARU – Seorang lelaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika sedang melintas jalan menuju ke masjid untuk menunaikan solat isyak di Jalan Salor Lama di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Che Hamid Mamat, 83, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berasal dari Kampung Salor di sini berjalan kaki untuk ke Masjid Nurul Huda yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai ingin melintas jalan menuju ke masjid berkenaan.
“Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier datang dari arah Pasir Mas menuju ke Jalan Salor Lama tidak sempat mengelak mangsa ekoran keadaan jalan yang gelap.
“Akibat jarak terlalu dekat, kenderaan tersebut telah merempuh mangsa sehingga warga emas itu tercampak sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Mohd. Suhaimi memberitahu, insiden itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini dan proses bedah siasat akan dijalankan pagi esok.
Ujarnya, pemandu Nissan Frontier yang berusia 58 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE
















