PETALING JAYA – Tiada siapa menyangka perniagaan sewa motosikal yang diusahakan secara ‘suka-suka’ akhirnya menjadi sumber rezeki yang mampu memberi pulangan lumayan kepada dua sahabat.
Bermula dengan dua buah motosikal iaitu jenis Modenas Kriss dan Yamaha Lagenda pada tahun 2016, kini perniagaan sewa motosikal dikenali Dua Roda Rental telah menawarkan lebih 50 buah motosikal untuk disewa.
Lebih membanggakan apabila perniagaan itu mampu menjana pendapatan mencecah RM15,000 sebulan.
Pemilik perniagaan yang mahu dikenali sebagai Che Mad, 35, berkata, idea untuk menyediakan perkhidmatan sewa motosikal itu tercetus apabila seorang kawannya menghadapi kesulitan untuk ke tempat kerja kerana kereta Proton Waja miliknya rosak.
Jelas Che Mad, ketika itu dia memiliki tiga buah motosikal, satu daripadanya digunakan dan dua lagi hanya tersadai dan hanya digunakan ketika perlu.
“Pada awalnya saya pinjamkan motosikal yang tidak digunakan iaitu Modenas Kriss untuk kegunaannya ke tempat kerja.
“Namun, akibat keretanya terlalu lama untuk disiapkan, dia kemudian mahu menyewa terus motosikal itu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Bertitik tolak daripada kejadian itu, Che Mad berkata, dia nekad untuk membuka sebuah syarikat perkhidmatan sewa motosikal, tambahan pula ketika itu tidak ramai yang mengusahakan perniagaan seperti itu.
“Saya bersama seorang lagi rakan kongsi dikenali Hafiz, 35, telah membeli beberapa buah motosikal baharu dan juga terpakai bagi mengembangkan lagi perniagaan ini.
“Kebetulan juga Hafiz pandai membaiki motosikal, jadi senanglah kami beli motosikal terpakai dengan harga murah sebelum dibaiki,” ujarnya.
Kata Che Mad, antara jenis motosikal yang disewakan ialah Honda EX-5, Yamaha Lagenda, Modenas Kriss sehingga ke model ‘scrambler’ dan skuter.
Harga sewanya pula bermula daripada RM38 sehingga RM80 untuk sehari, mingguan pula RM210 sehingga RM450 dan bulanan RM380 hingga 750 bergantung kepada jenis serta model.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas mereka mengiklankan perniagaan itu di laman sosial, permintaan kepada perkhidmatan motosikal sewa semakin popular sehingga mendapat perhatian pelancong asing.
“Pada awalnya, hanya mereka yang mempunyai masalah seperti kenderaan rosak sahaja yang menyewa motosikal kami, tetapi selepas diiklankan di Facebook ramai yang berminat dan paling ramai adalah pelancong asing.
“Sehingga ada yang belum sampai lagi di Malaysia sudah menempah jenis motosikal.
“Apabila kami tanya, mereka (pelancong asing) memilih untuk menunggang motosikal terutamanya di sekitar Kuala Lumpur memandangkan keadaan trafik yang sentiasa sesak dan juga ‘parking’ yang susah,” jelasnya.
Che Mad yang juga seorang kakitangan awam berkata, motosikal sewanya juga sering mendapat permintaan tinggi daripada penganjur terutama apabila ada kejohanan seperti perlumbaan Moto GP di Sepang dan pelbagai acara lain.
“Kami pernah menerima tempahan kira-kira 30 buah motosikal untuk kegunaan kru dan kakitangan di Litar Sepang sempena kejohanan pra musim Moto GP di Sepang,” katanya.















