PUTRAJAYA – Negara merekodkan jangkitan Covid-19 melepasi angka 28,000 iaitu 28,825 kes semalam dengan 95 kes atau 0.33 peratus daripadanya kategori tiga, empat dan lima.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, baki sebanyak 28,730 kes atau 99.67 peratus adalah kategori satu dan dua manakala, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 mencecah 3,194,848 kes.
Menurutnya, mengikut pecahan, kategori satu sebanyak 8,412 kes (29.18 peratus), kategori dua 20,318 kes (70.49 peratus), kategori tiga 59 kes (0.20 peratus), kategori empat 22 kes (0.08 peratus) dan kategori lima 14 kes (0.05 peratus).
“Daripada 95 kes kategori tiga, empat dan lima, 28 kes (29.47 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 49 kes (51.58 peratus) telah menerima dua dos vaksin, 18 kes (18.95 peratus) telah menerima dos penggalak dan 41 kes (43.16 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas.
“Seterusnya, 48 kes (50.53 peratus) mempunyai komorbid dan tiada kes ibu mengandung. Dilaporkan sembilan kes (0.03 peratus daripada kes semalam) telah meninggal dunia termasuk empat kes (0.013) kes brought-in-dead (BID),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sebanyak 18,514 kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kumulatif 2,919,196 kes serta 238 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan 130 kes memerlukan bantuan pernafasan. – KOSMO! ONLINE














