fbpx

Ismail Sabri dapat injunksi halang portal siar artikel fitnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berjaya memperoleh perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) daripada Mahkamah Tinggi di sini yang memerintahkan sebuah portal untuk memadamkan artikel yang didakwa memfitnahnya.

Perintah injunksi itu diperoleh Ismail Sabri selaku plaintif dalam kes saman fitnah terhadap Muhamad Izwan yang dinamakan sebagai defendan dan difailkan semalam 17 Februari lalu (2022).

Ahli Parlimen Bera itu turut memperoleh perintah menghalang pemilik portal berkenaan Muhamad Izwan Mohd. Zubit atau mana-mana ejennya untuk mengulangi atau menyiarkan semula artikel atau kenyataan berbaur fitnah mengenai Perdana Menteri.

Sementara itu, peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail ketika dihubungi media berkata perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Evrol Mariette Peters.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, pada 30 Januari lalu, defendan telah menerbitkan satu artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” yang dikatakan berbaur fitnah.

Artikel terbabit juga telah diterbitkan semula dalam sebuah laman sesawang yang boleh diakses oleh orang awam.

Ismail dalam penyataan tuntutannya turut menyatakan, artikel terbabit antara lain menggambarkan dirinya sebagai seorang yang tidak jujur dan terdesak untuk kekal menjadi Perdana Menteri dalam apa juga cara sehingga sanggup membelakangkan .

Artikel tersebut turut menggambarkan Ismail Sabri sebagai seorang yang mementingkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berbanding kepentingan Malaysia dan rakyatnya dan parti politik UMNO selain dengan niat jahat bagi menjatuhkan reputasinya sebagai Perdana Menteri dan ahli UMNO.

Terdahulu pada 3 Februari lalu, peguam mewakili Ismail Sabri telah menghantar surat tuntutan memohon defendan untuk memadamkan artikel tersebut dan memohon maaf. Namun permohonan tersebut sehingga hari ini masih belum dilaksanakan.

Justeru, Ismail Sabri memohon satu perintah injunksi agar defendan memadamkan artikel berbaur fitnah itu dalam semua laman sesawang dan media sosial kendalian Muhamad Izwan.

Plaintif turut memohon satu perintah mahkamah agar defendan menyerahkan dokumen bagi menunjukkan bahawa artikel terbabit telah dipadamkan dalam tempoh 24 jam dari tarikh penghakiman.

Ismail Sabri turut menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah, faedah sebanyak lima peratus dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI