fbpx
Izhar menunjukkan air teh bertukar warna seperti madu sebaik bercampur dengan titisan madu kelulut asli, namun jika madu tiruan, warna air itu tetap sama.

Perniagaan penternak kelulut, ‘pemburu’ madu terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Kalangan penternak serta pencari madu lebah asli meluahkan kebimbangan apabila mendakwa pasaran manisan semula jadi dari lebah itu terus dimonopoli madu tiruan.

Penternak dari Kampung Padang Panjang, Bukit Wang di sini, Izhar Johari memberitahu, kebanyakan madu di pasaran terdiri daripada madu yang telah diubah suai dengan penambahan bahan lain seperti glukosa.

Katanya, lebih membimbangkan apabila ada juga madu sintetik yang mana ia diperbuat daripada 100 peratus bahan kimia.

“Perkara ini yang menjadi isu utama yang sering dibincangkan dalam kalangan penternak kelulut termasuk bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

“Bagaimanapun, masalah itu tidak dapat diselesaikan sehingga hari ini kerana pengguna sukar untuk membezakan antara madu tiruan dan asli,” katanya ketika ditemui di Galeri Kelulut Bukit Wang di sini baru-baru ini.

Izhar memberitahu, ketulenan madu tempatan atau import ketika ini hanya boleh diukur secara tepat di makmal.

“Sebagai penternak atau pe­ngusaha madu kelulut, kita bia­sanya dapat mengenal pasti perbezaan madu tiruan dengan asli mengikut pemerhatian.

“Antara ciri-ciri madu asli ialah teksturnya tidak berkaca atau bersinar, rasanya mempu­nyai aroma bunga dan mempunyai sedikit rasa masam,” jelasnya.

Menurutnya, petua ‘kampung’ lain bagi mengenal pasti madu asli yang didapati kurang tepat ialah madu asli tidak akan dihurung semut selain mempunyai lapisan kristal seakan-akan gula.

“Ini kerana dalam madu tetap ada kandungan gula, namun pada kadar tertentu. Namun, madu tiruan yang mempunyai kadar gula tambahan yang banyak, lapisan bahan itu akan kelihatan sehingga separuh botol jika dimasukkan dalam peti sejuk,” katanya.

Penternak di JKM Trigona Agro Farm, Mohd. Riban Zainol, 44, berkata, lambakan madu tiruan di pasaran secara tidak langsung menjejaskan perniagaan pengusaha madu kelulut.

“Madu tiruan ini banyak dijual di premis, kaki lima dan secara dalam talian dengan harga yang murah dan tidak munasabah.

“Pihak kami bersama MARDI pernah mengumpulkan madu yang dijual di pasaran untuk diuji ketulenannya, malangnya kebanyakan madu yang diuji didapati tidak asli,” ujarnya.

Seorang penjual madu tualang di rumah bot Seri Mahawangsa di Pedu dekat sini, Amir Wahab berkata, proses mengambil madu tualang bukan mudah.

Katanya, jika di Pedu, ‘pemburu’ masih mengambil madu pada waktu malam di atas pokok tua­lang yang berketinggian hingga 150 meter.

“Jadi, mana mungkin madu tua­lang asli boleh dijual terlalu murah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN