fbpx
DUA figura seni ini sentiasa fokus dengan apa yang mereka lakukan.

Beto suka privasi, Azhan henti merajuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JIKa mahu bercakap soal bakat dan populariti, isu tersebut sebenarnya telah berakar dan menjadi topik hangat dalam kalangan penggiat seni tanah air

Sejak media sosial menjadi sebahagian daripada kehidupan, tidak dapat dinafikan ramai artis generasi baharu mendapat platform alternatif untuk mempromosikan diri secara terus ke mata peminat.

Kini, jumlah pengikut dalam akaun media sosial menjadi pengukur sama ada seseorang artis atau pelakon itu cukup layak atau miliki pengaruh besar untuk membintangi sesebuah karya, baik drama, filem mahupun teater berskala besar.

Konsepnya mudah, andai pelakon memiliki kumpulan pengikut yang besar maka peluang untuk karya lakonan mereka untuk menjadi sohor atau trending juga cerah.

Kini, tidak keterlaluan jika bakat dikatakan menjadi syarat kedua untuk seseorang bergelar pelakon atau mudah diterima dalam industri.

Berbicara isu berkenaan secara mendalam, dua aktor yang tidak lahir pada zaman media sosial iaitu Beto Kusyairi dan Azhan Rani mengakui, situasi tersebut sudah dianggap normal dalam industri hiburan.

“Isu ini sudah lama berlaku dan sehingga kini tiada jalan penyelesaiannya kerana melibatkan banyak pihak,” dua aktor yang mahal bakat itu sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem televisyen (FTV) Frontliner di Publika, baru-baru ini.

Privasi

Bagi Beto, kerjayanya dalam dunia lakonan bermula dari bawah dan mengambil masa lama untuk membina nama sebagai anak seni.

Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan Osman mula mengintai peluang dalam dunia hiburan sebagai maskot singa bagi rancangan pendidikan kanak-kanak, Along siaran RTM pada 2004 sebelum membintangi filem pertamanya, Syaitan tiga tahun kemudian.

Lelaki berusia 40 tahun itu tidak pernah cemburu apatah lagi iri hati dengan kemudahan laluan yang dimiliki pelakon baharu sekarang andai populariti datang seiring dengan bakat.

“Saya tidak mengatakan populariti sebagai perkara buruk kerana itu satu kelebihan. Namun, secara peribadi, bakat perlu hadir terlebih dahulu barulah populariti memberi makna besar,” tuturnya.

 

BETO percaya walau sebanyak mana jumlah pengikut media sosial sekalipun, bakat yang akan mengemudi perjalanan seseorang anak seni.

 

Tidak menolak kuasa media sosial secara total, Beto turut mempunyai akaun Instagram untuk mengemas kini tentang kerjaya dan kehidupannya dalam versi digital.

Bagaimanapun, aktor Istanbul Aku Datang itu memilih untuk meletakkan akaunnya dalam mod privasi, tidak seperti kebanyakan selebriti yang lebih senang menjadikan akaun mereka umum buat tatapan khalayak.

“Saya menapis setiap permintaan untuk mengikuti akaun saya kerana mahu pastikan sesiapa yang mengikuti Instagram saya ialah peminat yang benar-benar menghargai hasil kerja saya.

“Alhamdulillah, biarpun jumlah pengikut tidaklah ramai tetapi penerbit dan pengarah masih memberi kepercayaan kepada saya,” getus Beto seraya menguatkan prinsip, bakat perlu di hadapan berbanding populariti.

Jangan merajuk

Rakan seperjuangan bahkan sealiran jiwa serta sahabat baiknya, Azhan Rani pula menyeru rakan-rakan pelakon yang masih kurang arif tentang permainan dunia sosial agar tidak berputus asa.

Kata Azhan, dia juga pernah mengalami situasi sama, namun sentiasa belajar untuk bangkit membuktikan bahawa golongan tanpa jutaan pengikut media sosial juga mampu berjaya.

AZHAN mengajak pelakon yang masih percayakan bakat sebagai aset utama sesebuah naskhah kreatif terus kuat dan berjuang demi rezeki dalam dunia seni.

 

 

Mengimbas kembali peristiwa beberapa tahun lalu, aktor yang popular dengan karakter Ustaz Madi dalam drama bersiri Nur itu mengakui, pernah merajuk dengan industri.

“Akibat terlalu melayan rajuk hati, saya nyah aktifkan semua akaun media sosial kerana meluat dengan sikap pilih kasih sesetengah pihak dalam memberikan tawaran kerja.

“Jujurnya, tiada siapa yang peduli apabila saya merajuk. Sejak daripada situ, saya nekad untuk berhenti merajuk kerana saya juga yang rugi pada akhirnya,” cerita Azhan panjang lebar.

Tambah Azhan, pendedahan Ameerul Affendi tentang penolakan stesen televisyen terhadap pelakon yang kurang pengikut media sosial, khususnya Instagram bukan perkara baharu.

Meskipun kurang bersetuju dengan pendekatan sebegitu, dia memahami akar tercetusnya kepincangan tersebut.

“Stesen televisyen mengejar rating, jadi tidak boleh hendak salahkan mereka sepenuhnya. Apa yang kita boleh cuba ubah ialah cita rasa peminat.

“Teruskan berjuang dan buktikan kemampuan bakat kerana tiada kerja keras yang sia-sia.

“Saya pernah dihina tidak layak bergelar pelakon kerana tidak tampan tetapi saya pekakkan telinga. Kadang-kadang kita perlu letak keyakinan bahawa rezeki setiap orang itu sudah ditetapkan Tuhan,” ujarnya menyimpul perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN